Takut tak beraya, rakyat Kelantan enggan ke pusat kuarantin

Dr Mohd Azman (kanan) mengadakan lawatan ke PKRC di Gelanggang Seni, Kota Bharu pada Jumaat.
Dr Mohd Azman (kanan) mengadakan lawatan ke PKRC di Gelanggang Seni, Kota Bharu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Segelintir rakyat Kelantan yang disahkan positif Covid-19 dilaporkan enggan menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) kerana takut tidak boleh meraikan hari raya.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Pengarah PKRC negeri, Dr Mohd Azman Yacob semasa mengadakan lawatan ke PKRC di Gelanggang Seni, di sini pada Jumaat.

Dr Mohd Azman berkata, antara alasan yang diberikan oleh individu berkenaan ialah mereka bimbang tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga sekiranya menjalani kuarantin di PKRC.

"Bagaimanapun, para petugas sentiasa berusaha untuk memujuk mereka yang enggan menjalani rawatan di PKRC supaya berbuat demikian dengan kadar segera.

"Kami tidak tergamak untuk menggunakan kuasa polis bagi memaksa individu berkenaan, setakat ini cukuplah kami memujuk mereka," katanya.

Menurutnya, mereka yang menjalani rawatan di PKRC tidak perlu bimbang kerana petugas akan memberikan khidmat terbaik.

Beliau berkata, bagi meredakan 'kebimbangan', para petugas akan menempatkan individu tersebut bersama keluarga jika ada dalam kalangan mereka turut positif Covid-19.

Dr Mohd Azman berkata, tindakan itu merupakan salah satu usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketika ini seluruh dunia sedang berperang melawan pandemik itu yang semakin 'meruncing' di Malaysia termasuklah Kelantan.

"Oleh itu saya menyeru seluruh rakyat Kelantan supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan ketika ini dalam melawan Covid-19," katanya.