Manchester United pilihan julang kejuaraan Liga Europa

Emery (kiri) bersama pengendali Arsenal, Mikel Arteta ketika aksi separuh akhir kedua Liga Europa di Stadium Emirates awal pagi Jumaat.
Emery (kiri) bersama pengendali Arsenal, Mikel Arteta ketika aksi separuh akhir kedua Liga Europa di Stadium Emirates awal pagi Jumaat.
A
A
A

UNAI Emery tetap menganggap Manchester United sebagai pilihan menjuarai Liga Europa biarpun berjaya mengemudi Villarreal mara ke final selepas menyingkirkan bekas kelab bimbingannya, Arsenal pada saingan separuh akhir.

Menurut Emery, The Red Devils berada dalam momentum positif bagi mendakap trofi Liga Europa musim ini berdasarkan prestasi konsisten dalam saingan domestik dan Eropah.

“Biar apa pun orang memperkatakan prestasi Villarreal pada saingan Liga Europa selepas mara sejauh ini, saya percaya masih ramai yang memilih Manchester United untuk menjulang kejuaraan ini.

“Ole Gunnar Solskjaer telah membuktikan keupayaannya mengendali Manchester United mara ke final biarpun situasi semasa bola sepak dunia berada dalam keadaan tidak menentu pada masa ini.

“Namun, kami akan tetap bersiap sedia untuk berdepan salah satu kelab terbaik Eropah seperti Manchester United seperti mana ketika kami berdepan Arsenal di peringkat separuh akhir,” katanya.

Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Emirates awal pagi Jumaat, anak-anak buah Emery berjaya mengekang asakan The Gunners untuk mengikat kedudukan seri tanpa jaringan.

Keputusan seri itu sudah cukup buat Villarreal melangkah ke pentas final dengan agregat 2-1 hasil kemenangan dalam aksi separuh akhir pertama di Estadio de la Ceramica minggu lalu.

Mengulas mengenai aksi di Emirates, Emery berkata, dia amat berpuas hati dengan semangat juang dipamerkan dalam kalangan pemain kelab Sepanyol itu dalam memburu slot final di Gdansk, Poland pada 27 Mei ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut Emery, pencapaian mara ke final itu juga menggamit memori lamanya ketika mengemudi satu lagi kelab Sepanyol, Sevilla menjuarai tiga kali Liga Europa sebelum ini.

“Sejujurnya kemenangan ini cukup bermakna buat kelab ini apatah lagi dapat mara ke final kejuaraan Eropah buat pertama kali setelah mengharungi musim yang cukup mencabar kali ini.

“Arsenal bukanlah lawan yang mudah seperti yang dibuktikan mereka dalam perlawanan malam ini, jadi kami cukup bersedia berdepan mereka dengan taktikal yang diatur,” jelasnya.