Google, Microsoft sedia kongsi kepakaran bangun aplikasi mesra OKU

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat gergasi teknologi, Google dan Microsoft Corporation sedia berkongsi kepakaran dalam pembangunan aplikasi mesra orang kurang upaya (OKU) di negara ini sebagai antara usaha untuk memperkasa golongan berkenaan.

Menurut Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), kedua-dua syarikat itu menyatakan kesediaan mereka semasa mesyuarat penyelarasan bersama secara dalam talian pada Khamis yang turut dihadiri wakil daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MyNIC Bhd yang merupakan pendaftar rasmi domain '.MY' di Malaysia serta wakil OKU.

"J-Kom telah mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama pihak Google dan Microsoft untuk membincangkan kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan bagi memperkemas penyampaian maklumat kepada komuniti OKU.

"Dalam mesyuarat itu pihak Google dan Microsoft menyambut baik inisiatif yang dibuat oleh jabatan ini dan bersetuju untuk berkongsi pengalaman dalam menambah baik laman sesawang kerajaan agar lebih mesra OKU," menurut J-Kom dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah J-Kom, jalinan kerjasama yang melibatkan kolaborasi strategik antara pihak kerajaan dan swasta itu akan diteruskan pada masa akan datang seiring dengan usaha untuk menghakupayakan komuniti OKU di negara ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: