Rizal mohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

Rizal Mansor
Rizal Mansor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor, yang menghadapi empat pertuduhan rasuah berjumlah RM5.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak, akan memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi, di sini.

Peguam Ridha Abdah Subri, yang mewakili Rizal memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob."Pihak kami memerlukan masa selama 10 hari untuk memfailkan notis usul dan afidavit berhubung permohonan itu dan saya juga difahamkan pihak pendakwaan tidak ada bantahan," katanya .

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengesahkan pihaknya tidak mengemukakan sebarang bantahan berhubung permohonan peguam itu untuk memindahkan kes mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

"Namun setakat ini, kami dimaklumkan bahawa pihak pembelaan masih belum membuat permohonan berkenaan dan kami hanya mengetahui mengenai perkara itu semalam," katanya.

Ahmad Akram berkata selepas kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, pihaknya akan mengemukakan permohonan supaya kes berkenaan dibicarakan bersama dengan kes membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor, yang menghadapi pertuduhan rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek sama.Hakim Rozina kemudiannya memberi masa selama seminggu bermula hari ini untuk pihak pembelaan memfailkan permohonan itu dan menetapkan 12 Dis ini untuk sebutan semula kes bagi mengetahui status permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Pada 15 November lepas, Rizal, 44, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Datin Seri Rosmah Mansor berjumlah RM5.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, Rizal didakwa telah secara rasuah meminta bagi pihak Rosmah suatu suapan iaitu wang berjumlah RM187,500,000 yang merupakan 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Saidi Abang Samsudin yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd.

Ia sebagai dorongan untuk Rosmah melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bagi pertuduhan kedua, Rizal didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan iaitu wang berjumlah RM25,000,000 daripada individu sama iaitu Saidi sebagai dorongan untuk tertuduh melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe', G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit, dekat sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan ketiga, Rizal didakwa telah secara rasuah menerima bagi pihak Rosmah suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM5,000,000 daripada Saidi sebagai upah bagi Rosmah kerana telah membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek sama di Lobi Pavilion REIT Management Sdn Bhd, 168, Pavilion, Jalan Bukit Bintang dekat sini pada 20 Dis 2016.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa telah secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM500,000 daripada individu sama sebagai upah bagi diri tertuduh kerana telah memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek serupa di No. 1, Laman Damai Sari, Jalan 1/61, Bukit Segambut, dekat sini pada 23 Dis 2016.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama