Keputusan Mahkamah Rayuan memihak Felda, FIC

Kenyataan akhbar oleh Felda pada Jumaat.
Kenyataan akhbar oleh Felda pada Jumaat.
A
A
A
SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) berjaya dalam rayuannya pada 30 April lalu untuk mengakaskan (reverse) keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan pembatalan tuntutannya terhadap Yeap Kong Yeow.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, agensi pembangunan tanah dan pertanian itu memaklumkan rayuan tersebut adalah mengenai tindakan yang diambil oleh Felda dan FIC pada 2019 terhadap Kong Yeow dan 20 defendan lain berkaitan konspirasi penipuan melibatkan Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

“Dalam mengakaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tuntutan Felda dan FIC terhadap Kong Yeow bukanlah satu kes yang jelas dan nyata untuk dibatalkan.

“Mahkamah Rayuan memutuskan demikian dengan kos sebanyak RM10,000 dibayar Kong Yeow kepada Felda dan FIC,” menurut kenyataan itu.

Pada 1 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Kong Yeow untuk membatalkan tuntutan Felda dan FIC terhadapnya atas alasan dia bukan lagi seorang rakan Tetuan Yeap, Yong & Amy apabila syarikat itu mewakili Synergy Promenade Sdn Bhd dan Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd dalam Projek KLVC tersebut.
Artikel Berkaitan:


Dalam kes tersebut, Felda dan FIC diwakili oleh Kumar Kanagasingam, Mong Chung Seng, Wong Han Wey dan Medha Ong dari Tetuan Lee Hishammuddin Allen & Gledhill.