X

Kindly register in order to view this article
!

Penduduk kondominium Sungai Ara gagal tolak permohonan pembangunan

Mahkamah tolak rayuan penduduk kondominium di Sungai Ara untuk membatalkan keputusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam memberikan kebenaran merancang kepada sebuah pemaju hartanah untuk membangunkan sebuah skim perumahan di kawasan tebing bukit.
A
A

PUTRAJAYA - Penduduk kondominium di Sungai Ara hari ini gagal dalam rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam memberikan kebenaran merancang kepada sebuah pemaju hartanah untuk membangunkan sebuah skim perumahan di kawasan tebing bukit.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Sam yang mempengerusikan barisan tiga ahli panel dalam menolak rayuan itu berkata, mahkamah bersetuju dengan penemuan Mahkamah Tinggi dan mengesahkan penemuan dan keputusan (mahkamah itu).

“Kami dapati tiada merit dalam rayuan itu yang memberikan kami kuasa untuk campur tangan dalam rayuan ini. Kami sebulat suara menolak rayuan ini,” katanya.

Hakim Yaacob berkata, mahkamah bersetuju dengan pengujahan oleh peguambela Sunway City (Penang) Sdn Bhd, Datuk Dr Cyrus Das yang pelan struktur menetapkan dasar umum untuk pembangunan dalam negeri Pulau Pinang dan tidak boleh dianggap sebagai satu undang-undang.

Beliau berkata, secara dasarnya polisi perancangan dalam pelan struktur tidak perlu dipatuhi oleh MBPP, sebagai sebuah pihak berkuasa peranangan tempatan, apabila berurusan dengan permohonan kebenaran merancang.

Bersidang bersama beliau ialah Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Lau Bee Lan.

Penduduk Kondominium Sunrise Garden, yang diwakili peguam Datuk Dr Guardial Singh Nijar, merayu terhadap keputusan Mahkamah Pulau Pinang pada Mei 2017 yang membuat keputusan berpihak kepada Sunway City.

Pada 29 Mei 2017, Mahkah Tinggi itu membenarkan semakan kehakiman oleh Sunway City dan membatalkan keputusan oleh Lembaga Rayuan Pulau Pinang dalam membatalkan kebenaran merancang yang diberikan kepada Sunway City untuk rancangan pembangunannya.

MBPP telah meluluskan permohonan Sunway CIty pada Februari 2012 untuk pelan perancangannya untuk membangunkan kawasan itu sebagai sebuah skim perumahan berpagar dan berpengawal.

Tanah meliputi kawasan seluas 32.7 hektar itu terletak dalam kawasan Sungai Ara pada ketinggian lebih daripada 76 meter dari paras laut dengan cerunan melebihi 25 darjah.

Penduduk merayu kepada Lembaga Rayuan Pulau Pinang menolak kebenaran merancang dikeluarkan MBPP dan pada Januari 2016, Lembaga Rayuan telah membatalkan kebenaran merancang yang diberikan kepada Sunway City itu.

Terkilan dan terjejas dengan keputusan Lembaga Rayuan yang menyebabkan Sunway City tidak dapat meneruskan dengan pembangunan yang dirancangkan pada tanah tersebut, syarikat itu mengemukakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Sunway City menamakan Lembaga itu, MBPP dan penduduk terbabit sebagai responden dalam semakan kehakiman itu.

Dalam semakan itu, pemaju itu, memohon antara lain, membatalkan keputusan Lembaga Rayuan dan mengistiharkan pengekalan kebenaran merancang yang telah diberikan MBPP kepada Sunway City. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!