Segerakan RCI siasat pendedahan Tommy dan Abdul Hamid: Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berkenaan campur tangan politik dan rasuah dalam institusi kerajaan untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan meminta menteri-menteri yang mewakili UMNO untuk membawa saranan itu kepada kerajaan agar tindakan segera dapat dilakukan.

"Pendedahan kedua-dua bekas ketua yang pernah mengetuai dua organisasi penting kerajaan adalah amat serius terutamanya melibatkan campur tangan politik dan rasuah dalam institusi-institusi yang menjadi benteng mempertahankan keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara.

"Penubuhan RCI bagi tujuan di atas boleh disekalikan dan harus disegerakan untuk memulihkan kembali kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap insitusi dan sistem yang membentengi kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian dalam menyuarakan sokongan terhadap gesaan Pemuda UMNO, yang disuarakan oleh ketua pergerakan sayap parti itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar kerajaan menyegerakan penubuhan RCI.

"Saya bersetuju dengan ketetapan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk mendesak kerajaan menyegerakan penubuhan RCI terhadap pendedahan Tan Sri Tommy Thomas bekas Peguam Negara dan Tan Sri Abdul Hamid Bador bekas Ketua Polis Negara," katanya.

Abdul Hamid pada sidang akhbar terakhir beliau sebagai KPN mengundang perhatian apabila membangkitkan isu campur tangan politik dalam pasukan polis.

Artikel Berkaitan: