SOP PKP: Jangan ada amalan dua darjat

Asmirul Anuar (kiri) ketika mengunjungi Pekan Rabu bagi mendengar luahan peniaga susulan perniagaan semakin suram.
Asmirul Anuar (kiri) ketika mengunjungi Pekan Rabu bagi mendengar luahan peniaga susulan perniagaan semakin suram.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan harus lebih tegas dan adil menangani amalan dua darjat dalam penguatkuasaan larangan rentas negeri selain prosedur operasi standard (SOP) yang dilihat 'flip-flop' dan mengundang kemarahan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris berkata, rata-rata rakyat meluahkan rasa kecewa dan marah kerana terpaksa berdepan situasi berkenaan selain peningkatan harga barang.

Menurutnya, keadaan ekonomi yang semakin suram turut menyebabkan rakyat berada dalam situasi yang amat tidak selesa.

“Rakyat boleh terima semua itu namun dengan syarat, jangan ada amalan dua darjat dan pelaksanaan SOP yang tidak adil.

"Rakyat berdepan kesukaran akibat penularan Covid-19, contohnya, peniaga di Kompleks Pekan Rabu merungut setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerana menjejaskan perniagaan.

"Jika setahun lalu kesabaran mereka boleh dibendung, kini kedudukannya semakin suram dan ada kedai tidak beroperasi elak tanggung kerugian,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Asmirul Anuar yang juga bekas Exco Kedah berkata, sepatutnya setelah setahun Covid-19 melanda negara, SOP semakin mantap dengan pelbagai pilihan yang boleh diamalkan peniaga untuk membolehkan mereka mencari rezeki.

“Bayangkan hanya tinggal beberapa hari lagi untuk menyambut Aidilfitri, tiba-tiba dikejutkan dengan PKP seakan-akan meragut nyawa perniagaan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Ditambah pula dengan undang-undang 'flip-flop' yang memeningkan. Sekejap dibenarkan, sekejap tidak. Peniaga kedai makan paling terkesan jika tiada SOP khusus buat mereka khususnya daerah terlibat PKP,” katanya.

Menurutnya, pada 12 Januari, kerajaan mengisytiharkan darurat untuk menangani penularan jangkitan Covid-19 namun sehingga kini matlamat itu gagal dicapai menyaksikan peningkatan kes kebelakangan ini.

“Rakyat bertanya, sejak darurat diisytiharkan, berjayakah kerajaan kawal pandemik ini? Data setiap hari menunjukkan tiada keberkesanan pengawalan Covid-19 hingga menyebabkan rakyat hidup dalam tekanan.

Ketika darurat diisytiharkan, bilangan kes positif Covid-19 ialah 141,533 dengan 559 kematian. Pada 1 Mei 2021, meningkat kepada 411,594 dengan 1,521 kematian,” katanya.

Asmirul Anuar turut mempersoalkan kadar vaksinasi yang agak lembab, dengan setakat ini 9,424,263 orang sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin, namun hanya 880,771 telah menerima suntikan.‬

“Pengangguran bertambah, pekerja yang hilang pekerjaan sejak Covid-19 seramai 125,100 orang dan penganggur seramai 777,500 orang.

"Kerajaan tidak mempunyai polisi yang jelas. Banyak yang diuruskan sekarang adalah secara ad hoc, bukan perancangan jangka masa pendek dan panjang,” katanya.

Menurutnya, kerajaan mempunyai jumlah menteri dan timbalan menteri yang ramai namun tidak berfungsi secara berkesan, hanya membazirkan wang negara yang boleh disalurkan untuk kegunaan lain.

“Sehingga kini institusi pendidikan masih lagi terkapai-kapai, seolah tiada arah tuju. Pelaburan asing (FDI) merudum, malah yang sedia ada sudah berpindah keluar mencari negara jiran seperti Indonesia.

"Parlimen pula digantung untuk elak akauntabiliti dan laksana ordinan yang tidak mesra rakyat. Begitu juga sidang DUN yang turut digantung, bagaimana kita nak bincang cari penyelesaian terbaik,” katanya.