Malaysia Airlines pelawa belia sertai kursus kejuruteraan

Malaysia Airlines pelawa belia terutama lepasan SPM mengikuti pelbagai kursus kejuruteraan teknikal pesawat kendaliannya. - Foto 123RF
Malaysia Airlines pelawa belia terutama lepasan SPM mengikuti pelbagai kursus kejuruteraan teknikal pesawat kendaliannya. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines yang menjangkakan kewujudan permintaan terhadap tenaga kerja sektor penerbangan di masa depan, kini mempelawa belia terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti pelbagai kursus kejuruteraan teknikal pesawat kendaliannya.

Pendaftaran bagi pengambilan tahun ini dibuka sehingga 15 Julai 2021 untuk kalangan lelaki dan wanita berusia 18 hingga 26 tahun serta menepati syarat asas iaitu sijil SPM dengan keputusan kredit dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Sains selain kesihatan yang baik.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malaysia Airlines, Ahmad Luqman Md Azmi berkata, setakat ini terdapat 400 pesawat didaftarkan di Malaysia dan angka itu dijangka meningkat dalam lima tahun lagi, sekali gus akan mewujudkan permintaan terhadap bakat atau tenaga kerja berkaitan.

“Matlamat kami adalah untuk membangunkan modal insan selain memastikan lulusan Malaysia Airlines ini dipandang tinggi oleh penggiat penerbangan utama di peringkat tempatan mahu pun global.

"Sebagai syarikat penerbangan nasional dan peneraju di pasaran serantau, adalah menjadi satu penghormatan untuk kami jika dapat memainkan peranan membangunkan barisan tenaga kerja yang mahir serta terlatih.

“Perkara ini juga dapat memastikan (jaminan) kewujudan tenaga kerja yang mencukupi di masa akan datang untuk menampung keperluan pertumbuhan mampan industri ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Latihan bagi pengambilan tersebut dikendalikan oleh Jabatan Latihan Kejuruteraan Malaysia Airlines Bhd dan mematuhi ketetapan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan pihak berkuasa penerbangan lain seperti Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA).

Jabatan Latihan Kejuruteraan berkenaan yang khusus dalam memastikan tawaran tenaga kerja dalam bidang berkaitan penerbangan, menawarkan pelbagai latihan serta kursus untuk mereka yang berhasrat menjadi kakitangan penyelenggaraan penerbangan menerusi pelbagai kurus latihan kejuruteraan dan penyelenggaraan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, latihan berkenaan menyediakan kursus pengenalan serta jenis pesawat meliputi pelbagai pesawat seperti Viking DHC6-400, ATR72-500, B737-600/700/800/900 dan kumpulan A320, A330, A350 serta A380.

Malaysia Airlines sememangnya dikenali dengan rekod prestasi hebat dalam menghasilkan barisan jurutera dan juruteknik berkaliber.

Sebagai sebuah organisasi penyelenggaraan dan latihan yang diiktiraf CAAM, kalangan jurutera serta jurutekniknya sentiasa mendapat tempat serta dicari oleh syarikat penerbangan lain, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.

Jabatan berkenaan turut menawarkan skim latihan bagi menghasilkan kalangan jurutera penyelenggaraan pesawat berlesen, jurutera bengkel, kursus juruteknik dan juruteknik rendah serta program latihan enjin di lapangan menggunakan simulator.

Maklumat lanjut mengenai tawaran kursus itu boleh diperoleh di laman sesawang atau menghubungi Dr Umran Abdul Rahman daripada Jabatan Latihan Perniagaan & Pembangunan dan Jabatan Latihan Kejuruteraan Malaysia Airlines menerusi atumran.abdulrahman@malaysiaairlines.com.my.