X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

PKP: Jawi benarkan masjid dan surau beroperasi

Solat Jumaat, fardu, tarawih dan Aidilfitri dibenarkan diadakan mengikut kapasiti masjid, surau Jumaat atau surau untuk ahli kariah sahaja dengan penjarakan 1.5 meter. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengeluarkan garis panduan baharu penggunaan masjid dan surau semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur berkuat kuasa pada Jumaat.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, solat Jumaat, fardu, tarawih dan Aidilfitri dibenarkan diadakan mengikut kapasiti masjid, surau Jumaat atau surau untuk ahli kariah sahaja dengan penjarakan 1.5 meter.

Menurutnya, aktiviti qiamullail turut dibenarkan namun dihadkan kepada 100 orang sahaja, aktiviti itu boleh dimulai jam 5 pagi dengan mematuhi jarak fizikal 1.5 meter.

"Selain itu, tadarus al-Quran dan majlis khatam al-Quran secara bersemuka dibenarkan dengan kapasiti separuh dewan solat utama dengan jarak sama.

"Takbir hari raya pada malam 1 Syawal pula dibenarkan dengan peserta tidak melebihi 20 orang, terdiri dalam kalangan ahli jawatankuasa atau pegawai masjid sahaja sehingga jam 10 malam," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Ajib
Mohd Ajib

Katanya lagi, jamuan selepas solat sunat Aidilfitri, majlis jamuan hari raya dan aktiviti ziarah kubur adalah tidak dibenarkan.

Sementara kuliah atau tazkirah secara bersemuka dibenarkan dengan kapasiti separuh dewan solat utama dengan menjaga jarak ditetapkan.

Dalam kenyataan sama, Jawi turut memperincikan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu Putrajaya dan Labuan yang jemaah boleh menunaikan solat mengikuti kapasiti masjid dan surau termasuk kawasan berkhemah.

Mohd Ajib berkata, garis panduan bagi aktiviti qiamullail, tadarus dan majlis khatam al-Quran serta kuliah atau tazkirah adalah sama seperti di kawasan PKP.

"Bagi takbir hari raya pada malam 1 Syawal dibenarkan dengan jumlah peserta mengikut kapasiti dewan solat utama masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakkan 1.5 meter sehingga jam 10 malam.

"Jamuan selepas solat sunat Aidilfitri dibenarkan secara berbungkus, sementara majlis jamuan hari raya tidak dibenarkan," katanya.

Tambahnya, aktiviti ziarah kubur di Putrajaya dan Labuan dibenarkan dengan tidak melebihi enam orang bagi satu petak kubur dan tidak melebihi 30 minit.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!