Dana RM90 juta: SPRM siasat penderma tetap, kroni Pas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat penderma tetap dan kroni Pas berhubung dakwaan parti itu menerima dana RM90 juta daripada UMNO.

The Malaysia Insight memetik sumber SPRM melaporkan, siasatan itu diperluaskan selepas tiada bukti sahih berlaku transaksi langsung antara dua parti itu atau antara ahli-ahlinya.

Kata sumber, siasatan itu mencakupi transaksi perbankan persendirian penyumbang tetap dana politik Pas dalam tempoh berkenaan.

“Ada kemungkinan dana itu disalurkan melalui akaun peribadi pihak berkepentingan kepada Pas. Itu yang menjadi fokus siasatan sekarang.

“Apa pun biar kami siasat dahulu bagi mengetahui kebenaran di sebalik penyaluran dana itu,” kata sumber itu seperti dilapor The Malaysian Insight.

Portal itu juga mendakwa beberapa ahli perniagaan serta orang kenamaan yang sering menderma kepada parti Islam itu kini dalam pemantauan dan siasatan SPRM.

SPRM sebelum ini dilaporkan tidak tidak menemui sebarang dana berkaitan 1MDB disalurkan ke akaun rasmi Pas.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM siasat kes Pas terima dana RM90 juta

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan pelik Pas dapat duit, kami ada lebih sejuta ahli: Abdul Hadi

Sejak siasatan itu dilakukan bermula 6 Februari, beberapa pemimpin Pas dirakamkan percakapan antaranya Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Suruhanjaya itu juga mengambil keterangan peguam Ambiga Sreenevasan, yang dinamakan sebagai sumber kepada artikel berkenaan perkara itu yang disiarkan laman Sarawak Report pada April 2016.

SPRM melakukan siasatan selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk menarik balik tuntutan sama terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Tindakan itu diambil selepas Abdul Hadi memutuskan untuk menyelesaikan kes saman tersebut di luar mahkamah, dalam kes yang difailkan di London.

Pada 21 April 2017, Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Clare di Mahkamah Tinggi London berhubung laporan berita Sarawak Report yang dimuatnaik pada 6 Ogos 2016.

Dalam laporan tersebut, Presiden Pas itu didakwa menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti bagi menyokong BN dan UMNO.