X

Kindly register in order to view this article
!

Kes Covid-19 melonjak, 4,498 kes baharu hari ini

Dr Noor Hisham
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kes baharu positif Covid-19 pada Jumaat terus melonjak kepada angka tertinggi sejak Februari lalu iaitu 4,498 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 432,425.

"Terdapat lima kes import dan 4,493 penularan dalam negara membabitkan 4,179 rakyat tempatan serta 314 warga asing," katanya.

Menurutnya, kes aktif direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara adalah 34,789.

"Jumlah kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi adalah 506 kes di mana ia termasuk 372 kes yang telah positif Covid-19.

"Selebihnya iaitu 134 kes adalah kes dalam siasatan dan sedang menunggu keputusan makmal," katanya.

Beliau berkata, terdapat 22 kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan dan dua daripadanya adalah melibatkan pesakit warga asing.

"Jumlah keseluruhan kes kematian Covid-19 adalah 1,632," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 3,449 kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 direkodkan.

"Jumlah keseluruhan kes pulih adalah 396,004 kes," katanya.

Menurutnya, kes kematian tersebut melibatkan enam kes di Sarawak, masing-masing tiga kes di Selangor, Kuala Lumpur, dan Kelantan, Johor (dua) dan Perak (dua) Sabah (satu), Kedah (satu) dan Perlis (satu).

"KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka," katanya.

Mengulas lanjut mengenai penularan dalam negara, beliau berkata, Selangor kekal penyumbang tertinggi dengan 1,424 kes.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 1,165 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat kes positif Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan," katanya.

Ia diikuti oleh Sarawak 750 kes, Kuala Lumpur (436), Pulau Pinang (313), Johor (327), Kelantan (297) dan Kedah (209).

Negeri Sembilan pula melaporkan 188 kes, Sabah (153) dan Perak (148).

Enam negeri dan wilayah melaporkan kes dua digit iaitu Terengganu (87), Pahang (78), Melaka (74), Putrajaya (lapan), Perlis (empat) serta Labuan (dua).

Sementara itu, terdapat 19 kluster baharu yang telah dikenal pasti melibatkan 10 kluster tempat kerja, empat kluster komuniti, tiga kluster keagamaan dan dua kluster sektor pendidikan termasuk satu kluster institusi pendidikan KPM.

"Jumlah keseluruhan kluster adalah 1,759 termasuk 1,334 telah diisytiharkan tamat dan 425 kluster masih aktif," katanya.

Tambahnya, terdapat 102 kluster merekodkan pertambahan kes baharu antaranya Kluster Jalan Kempas Pagoh (70), Kluster Jalan Besar Sungai Jawi (47) dan Kluster Beladin (45).


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!