Kapal Portugal ditahan bersauh tanpa kebenaran

Kapal kontena berdaftar dari Portugal yang didapati bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Kukup, Pontian pada malam Khamis. - (Foto: Maritim Malaysia)
Kapal kontena berdaftar dari Portugal yang didapati bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Kukup, Pontian pada malam Khamis. - (Foto: Maritim Malaysia)
A
A
A

PONTIAN- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor telah menahan sebuah kapal kontena dari Portugal kerana didapati bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Kukup, di sini pada malam Khamis.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal kontena itu ditahan di kedudukan 2.9 batu nautika tenggara Pulau Kukup pada jam 8.20 malam, semasa rondaan rutin yang dilakukan pihak Maritim Malaysia.

“Hasil pemeriksaan awal, kita mendapati kapal tersebut dikendalikan oleh 19 kru termasuk nakhoda. Kesemua mereka merupakan warga Rusia, Filipina dan Ukrain berumur antara 23 dan 62 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bagaimanapun, nakhoda kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan pemakluman ketibaan di perairan negara.

“Nakhoda dan seorang kru kapal kontena terbabit kemudiannya telah dibawa ke Unit Siasatan, Ibu Pejabat Maritim Johor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelas Nurul Hizam, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut menasihati pemilik dan nakhoda kapal supaya memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi sebelum memasuki dan bersauh di perairan negara.

“Pihak Maritim Malaysia akan sentiasa memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara dipelihara.

Artikel Berkaitan:

“Jika terdapat sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut, orang ramai boleh segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.