1,399 pelajar UUM berkorban tak balik kampung beraya

Ahmad Bashawir (dua dari kanan) melambai pelajar ketika pelepasan pulang pelajar UUM ke kampung halaman masing-masing sempena Aidilfitri di pekarangan Varsity Mall UUM, Sintok pada Jumaat.
Ahmad Bashawir (dua dari kanan) melambai pelajar ketika pelepasan pulang pelajar UUM ke kampung halaman masing-masing sempena Aidilfitri di pekarangan Varsity Mall UUM, Sintok pada Jumaat.
A
A
A

SINTOK - Seramai 1,399 mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) sanggup mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman masing-masing apabila kekal berada di kampus pada tahun ini.

Pelajar Ijazah Sarjana Sains Ekonomi merangkap Presiden Inapan Siswa (Inasis) YMU UUM, Abdul Haziq Abd Kongid, 22, berkata, kira-kira 197 pelajar Inasis YMU membuat keputusan tidak pulang ke kampung masing-masing atas pelbagai sebab.

Abdul Haziq berkata, dia sendiri memilih tidak pulang meraikan Syawal di rumahnya atas dasar tanggungjawab bagi memastikan kebajikan mahasiswa lain di kampus terjaga sepanjang sambutan Aidilfitri.

"Alhamdulillah, saya amat bersyukur ibu bapa memahami apabila dimaklumkan tidak dapat meraikan lebaran bersama mereka di Sungai Buloh, Selongor.

"Malah, mereka turut mengirimkan beberapa jenis biskut raya kepada saya yang tidak pulang berhari raya tahun ini," katanya ketika ditemui selepas pelepasan pulang pelajar UUM ke kampung halaman masing-masing sempena Aidilfitri di pekarangan Varsity Mall UUM, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, sebanyak 60 balang biskut raya seperti cornflakes madu, mazola dan samperit disediakan untuk diedarkan sebelum Hari Raya Aidilfitri agar pelajar yang tidak pulang dan tinggal di kampus dapat merasai suasana hari raya.

Abdul Haziq menyediakan kuih raya untuk rakan yang tidak pulang berhari raya di kampung masing-masing.
Abdul Haziq menyediakan kuih raya untuk rakan yang tidak pulang berhari raya di kampung masing-masing.

Abdul Haziq berkata, dia dan rakan-rakan turut merancang membakar lemang sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Artikel Berkaitan:

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakauanan UUM, Idznin Alish Muhd Azirul Aridi, 21, yang berpeluang pulang ke kampung halamannya di Ketereh, Kelantan berkata, dia hanya akan beraya bersama keluarga dan tidak berhasrat untuk berkunjung ke rumah sanak saudara berikutan bimbang dengan penularan Covid-19.

Idznin Alish berkata, dia rindu dengan keluarga khususnya ibu bapa di kampung, justeru akan mengambil langkah berjaga-jaga kerana sedia maklum kes agak tinggi ketika ini di Kelantan.

Katanya, mereka akan diarah kuarantin selama 10 hari sekembalinya ke kampus nanti sepertimana ketika masuk semester baharu pada Mac lepas.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, jumlah pelajar yang tidak pulang atau kekal berada di kampus pada Aidilfitri nanti adalah seramai 1,399 orang.

"Seramai 1,049 pelajar kecuali Sarawak yang terdiri daripada enam kategori pelajar yang dibenarkan untuk menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) mula pulang ke kediaman masing-masing bermula Jumaat sempena sambutan Aidilfitri," katanya.

Sebahagian pelajar UUM yang mula pulang ke kampung masing-masing menaiki bas sewaan khas yang diselaraskan oleh universiti di pekarangan Varsity Mall UUM, Sintok pada Jumaat.
Sebahagian pelajar UUM yang mula pulang ke kampung masing-masing menaiki bas sewaan khas yang diselaraskan oleh universiti di pekarangan Varsity Mall UUM, Sintok pada Jumaat.

Ahmad Bashawir berkata, pelajar dibenarkan pulang secara berperingkat bermula 7 hingga 11 Mei depan dan dikehendaki kembali semula secara berfasa mulai 19 hingga 23 Mei bagi Fasa 1 dan 29 hingga 30 Mei bagi Fasa 2 selepas mendapat surat pelepasan rentas negeri atau daerah yang disediakan universiti.

Katanya, kesemua pelajar UUM ini akan bergerak pulang menggunakan beberapa kaedah iaitu kenderaan sendiri (341), menaiki bas sewaan khas yang diselaraskan oleh universiti (437), dijemput ibu bapa atau penjaga (267) dan penerbangan ke Wilayah Sabah (4).

Beliau berkata, sebanyak lima buah bas akan bergerak ke Johor, Terengganu dan Kelantan pada hari pertama, seterusnya tiga buah bas ke Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka dan Putrajaya pada Sabtu, diikuti tiga buah bas lagi akan membawa pelajar pulang ke Perak dan Selangor pada Ahad dan sebuah bas ke sekitar Kedah dan Pulau Pinang pada Isnin depan.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Bashawir menjelaskan pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.