Covid-19: Besut rekod kadar kebolehjangkitan tinggi

Besut merekodkan 406 kes positif hasil daripada 5,617 ujian saringan dilakukan ke atas penduduk di lokaliti berkenaan.
Besut merekodkan 406 kes positif hasil daripada 5,617 ujian saringan dilakukan ke atas penduduk di lokaliti berkenaan.
A
A
A

MARANG – Kerajaan terpaksa mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di 14 mukim di Besut walaupun sedar keputusan itu tidak menggembirakan rakyat berikutan di saat umat Islam mahu menyambut Aidilfitri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daerah Besut merekodkan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan PKP merupakan langkah terbaik bagi menghalang Covid-19 merebak ke kawasan lain.

“Kita tidak nafikan ‘cross border’ dari Kelantan jadi faktor besar dan wujudnya laluan tikus yang banyak di Besut menjadikan kawalan agak sukar, jadi kita rasa tiada jalan lain lebih selamat untuk elak penularan ke daerah lain.

“Sebelum merebak ke daerah-daerah lain dan jadi lebih parah lagi, kita terpaksa ambil pendekatan yang tidak menggembirakan orang terutama ketika mahu sambut raya,” katanya selepas hadir ke Majlis Penyampaian Tablet & Bantuan Persekolahan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dewan Perpustakaan Awam Daerah Marang, di sini pada Jumaat.

Pada majlis itu, seramai 50 pelajar kurang berkemampuan menerima tablet sumbangan Terengganu Incorporated bersama anak syarikat kumpulan lain iaitu Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ladang Rakyat Terengganu dan EPIC Berhad.

Hadir sama Presiden yang juga Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan 14 mukim di Besut kecuali Hulu Besut dikenakan PKP berkuat kuasa 7 Mei sehingga 20 Mei ini.

Besut merekodkan 406 kes positif hasil daripada 5,617 ujian saringan dilakukan ke atas penduduk di lokaliti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan peningkatan kes di daerah itu berpunca daripada pergerakan keluar masuk pelajar dan pekerja dari negeri jiran dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi iaitu 95 peratus.

Selain itu, Besut dilaporkan merekodkan 15 kluster bagi tempoh sama, malah ada yang menular ke lokaliti lain.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Samsuri berkata, keputusan pelaksanaan PKP di daerah Besut merupakan hasil perbincangan bersama antara kerajaan negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan agensi terlibat sebelum dibawa ke kerajaan Pusat.

“Kita bawa pandangan ini untuk dibincangkan ke peringkat Pusat pula dan ia diputuskan di peringkat Pusat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!