Pekerja sambilan tak mengaku guna dokumen palsu

Ungku Abdul Aziz hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan kes menggunakan dokumen palsu pada Jumaat.
Ungku Abdul Aziz hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan kes menggunakan dokumen palsu pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja sambilan dalam bidang logistik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung lantikan pengambil alihan operasi sebuah hotel bertaraf tiga bintang, tahun lalu.

Ungku Abdul Aziz Ungku Yusuf, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Ungku Abdul Aziz yang hadir di mahkamah dengan memakai kot kelabu, didakwa dengan curangnya menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu surat lantikan mengambil alih operasi sebuah hotel yang diketahui adalah dokumen palsu.

Kejadian dilakukan di Menara Bank Islam di sini, antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari pada 3 Disember 2020.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilyana Ellyna Nor Azmal mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000.

Bagaimanapun, bapa kepada tiga anak itu yang diwakili peguam, Lee Sin Yee merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minima.

"Dia perlu menanggung ibu yang uzur, isteri dan anak-anak yang berusia tiga, 10 dan 14 tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Tawfiq Affandy Chin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan mahkamah menetapkan 1 Julai depan sebagai sebutan semula kes.