Aktiviti sosial diperketat jika Pulau Pinang kembali PKP

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Aktiviti sosial mungkin akan diperketatkan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali dilaksanakan di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pendekatan itu terpaksa dibuat berikutan kes-kes terkini jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang yang kebanyakan berlaku di lapangan melibatkan aktiviti sosial dan sektor pendidikan.

Menurutnya, kluster sektor perkilangan juga telah meresap masuk ke dalam komuniti ekoran berlakunya aktiviti sosial.

"Kita percaya sekiranya PKP dikenakan akan diketatkan aktiviti yang boleh membawa kepada merebaknya jangkitan Covid-19,'' katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Program e-Pembelajaran Pulau Pinang di Auditorium A, Komtar, di sini pada Jumaat.

Buat masa ini, Pulau Pinang masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun peningkatan kes positif Covid-19 menimbulkan desas-desus mengenai kemungkinan PKP dilaksanakan semula di negeri ini.

Sementara itu Kon Yeow berkata, semua pihak perlu menunggu keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sama ada PKP akan dilaksanakan atau sebaliknya di Pulau Pinang.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri telah mengemukakan analisis risiko yang dikemas kini mengenai keadaan Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan untuk membolehkan MKN memutuskan sama ada PKP perlu dilaksanakan.

"Laporan telah dihantar pada Rabu lalu namun tidak ada keputusan dibuat pada waktu itu.

Artikel Berkaitan:

"Selepas itu, sekali lagi Jabatan Kesihatan Negeri menyerahkan laporan terkini berikutan peningkatan kes, jadi saya yakin keputusan mengenai arah tuju Pulau Pinang akan dibuat hari ini," katanya.