Bekalan mentah cukup jika PKP dilaksanakan di Pulau Pinang

Pegawai KPDNHEP Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan dan pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa di Pasar Awam Bayan Baru, pada Jumaat. Foto: Bernama
Pegawai KPDNHEP Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan dan pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa di Pasar Awam Bayan Baru, pada Jumaat. Foto: Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang pada Jumaat memberi jaminan bekalan bahan mentah mencukupi bagi musim perayaan dan juga ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekiranya ia kembali dilaksanakan di negeri ini.

Justeru, Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pengguna tidak perlu khuatir mengenai kekurangan bekalan bahan tersebut.

"Bekalan bahan mentah terkawal seperti ayam dan daging adalah terjamin bagi musim perayaan ini dan sekiranya PKP kembali dilaksanakan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan dan pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Pasar Awam Bayan Baru pada Jumaat.

Mohd Ridzuan berkata, sebanyak 15 kes telah dicatatkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Ops Pantau SHMMP Hari Raya Puasa 2021 yang dilaksanakan sejak dua minggu lalu.

Beliau berkata, kes yang dilaporkan terdiri daripada pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh peniaga termasuk tidak mempamerkan tanda harga barang kawalan serta menjual barangan melebihi harga yang ditetapkan melibatkan kompaun sebanyak RM3,200.

"Hasil pemantauan dan pemeriksaan di bawah Ops Pantau yang dilakukan di beberapa lokasi tumpuan seperti pasar raya, pasar awam dan pasar tani di sekitar negeri ini adalah sebanyak 1,448 pemeriksaan melibatkan peringkat runcit dan borong.

"Malah, KPDNHEP Pulau Pinang turut mengeluarkan 14 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 ke atas peniaga ayam melalui Ops Rantaian Ayam bagi mendapatkan maklumat kenaikan harga ayam," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa di negeri ini melibatkan 29 jenis barangan terdiri daripada ayam, telur ayam, daging, sayur dan hasil laut.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, KPDNHEP Pulau Pinang tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna berkaitan kenaikan harga barangan terkawal sepanjang tempoh SHMMP Hari Raya Puasa yang bermula pada 21 April lalu," katanya. - Bernama