Polis mati tertembak: Tiga rakan direman 14 hari

Konstabel Norhalim Tumiran, 25, ditemukan maut dengan kesan tembakan di kepala di rumah berkenaan.
Konstabel Norhalim Tumiran, 25, ditemukan maut dengan kesan tembakan di kepala di rumah berkenaan.
A
A
A

SIBU - Tiga anggota polis ditahan reman hingga 14 Mei ini bagi membantu siasatan kes seorang konstabel yang mati tertembak oleh rakan sekerja, di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9, Taman Permai petang Khamis.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Syukri Mokhtar pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, ketiga-tiga mereka yang berusia 21, 23 dan 27 tahun itu merupakan rakan serumah mangsa.

"Jenazah mangsa akan dihantar pulang ke kampung halamannya di Pahang selepas semua urusan di sini selesai," katanya menerusi aplikasi WhatsApp pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam Khamis itu, anggota Unit Rondaan Bermotosikal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu Konstabel Norhalim Tumiran, 25, ditemukan maut dengan kesan tembakan di kepala di rumah berkenaan.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang tinggal di rumah transit di IPD Sibu, datang ke rumah sewa yang didiami rakan setugasnya itu untuk bermain permainan komputer sebelum waktu berbuka.

Bagaimanapun, seorang rakan mangsa dikatakan bergurau dengan mengacukan pistol ke arah mangsa sebelum tertarik picu dan tertembak mangsa.

Mangsa yang baru sebulan setengah ditugaskan di sini selepas menamatkan latihan asas kepolisan, meninggalkan seorang isteri dan seorang anak berusia setahun.

Artikel Berkaitan:

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Konstabel baru pindah Sibu mati tertembak oleh rakan