X

Kindly register in order to view this article
!

22 penduduk Palestin cedera di Baitulmuqaddis

Gambar fail menunjukkan seorang anggota pasukan keselamatan Israel menangkap penduduk Palestin berhubung isu pemilikan tanah yang didakwa milik peneroka Yahudi di Sheikh Jarrah, Baitulmuqaddis Timur, baru-baru ini. - Foto: AFP
A
A

BAITULMUQADDIS - Seramai 22 orang cedera dalam pertempuran dengan polis Israel di kawasan Baitulmuqaddis Timur yang diduduki dan dirampas oleh Israel, kata Persatuan Palang Merah pada Khamis.

Pertempuran itu berlaku berikutan bantahan penduduk Palestin terhadap perpindahan secara paksa beberapa buah keluarga dari Sheikh Jarrah, Baitulmuqaddis Timur.

Polis Israel turut mengesahkan penangkapan 11 orang di kawasan penduduk Sheikh Jarrah dekat Kota Lama Baitulmuqaddis yang mana perbalahan tanah antara penduduk Palestin dan peneroka haram Yahudi telah berlaku sejak bertahun-hatun lamanya.

Protes penduduk itu telah bermula sejak Rabu lalu.

Menurut AFP, awal tahun ini, sebuah mahkamah daerah di Baitulmuqaddis memutuskan rumah yang didiami empat keluarga Palestin adalah milik sah keluarga-keluarga Yahudi dengan menyebut tentang pembelian tanah iaitu tempat rumah itu didirikan dibuat sejak beberapa dekad lalu.

Keluarga-keluarga Yahudi itu mendakwa mereka kehilangan tanah disebabkan perang yang berlaku sehingga mewujudkan sebuah negara Yahudi pada tahun 1948.

Namun, keluarga Palestin itu menunjukkan bukti bahawa rumah mereka diperoleh daripada pihak berkuasa Jordan yang menguasai Baitulmuqaddis Timur dari tahun 1948 hingga 1967.

Jordan turut campur tangan dalam kes itu dengan menyediakan dokumen-dokumen bagi menyokong dakwaan penduduk Palestin itu.

Israel telah merampas Baitulmuqaddis Timur pada tahun 1967 dan tindakan itu tidak diiktiraf oleh kebanyakan negara di dunia. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!