X

Kindly register in order to view this article
!

Bank Rakyat lancar Arrow

Abang Johari (tengah) pada sidang media Perkidmatan Bank Bergerak yang diadakan di Kuching, pada Khamis.
A
A

SHAH ALAM - Bank Rakyat melancarkan inisiatif kemudahan perbankan Bank Bergerak yang dikenali sebagai Arrow di Bintulu, Sarawak sekali gus menjadikannya lokasi kedua perkhidmatan itu di Malaysia selepas Johor.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, Arrow diperkenalkan bagi memenuhi keperluan perbankan untuk komuniti yang kurang dan tidak mendapat perhatian, terutama di kawasan pedalaman Sarawak.

Menurutnya, Arrow merupakan saluran alternatif yang memudahkan pelanggan tanpa perlu mengunjungi kaunter bank di bandar.

“Antara perkhidmatan perbankan yang disediakan ialah pembukaan akaun simpanan-i, akaun deposit berjangka-i atau akaun semasa-i elektronik (ECA-i), pembiayaan ajak gadai-i (Ar-Rahnu) dan transaksi tunai.

“Selain itu, perkhidmatan permohonan dan pembayaran pembiayaan, permohonan kad kredit-I, permohonan takaful, pembayaran bil, kiriman wang, transaksi kewangan kepada Tabung Haji, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan SSPNi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Syed Abdul Aziz (kanan) memberikan penerangan kepada Wan Junaidi (kiri) mengenai perkhidmatan Bank Bergerak yang dilancarkan di Sarawak, pada Khamis.
Syed Abdul Aziz (kanan) memberikan penerangan kepada Wan Junaidi (kiri) mengenai perkhidmatan Bank Bergerak yang dilancarkan di Sarawak, pada Khamis.

Beliau berkata, menerusi kemudahan yang ditawarkan oleh Arrow membolehkan produk Bank Rakyat menembusi pasaran di kawasan pedalaman negeri Sarawak.

“Inisiatif Bank Bergerak ini selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) dengan merakyatkan perkhidmatan perbankan serta mendigitalisasikan sistem perbankan agar kemudahan kami dapat dinikmati menjangkau sempadan.

“Pada masa sama, ia juga bagi mengukuhkan Perantaraan Berasaskan Nilai (VBI) seperti mana yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia bagi memastikan impak yang positif kepada ekonomi serta komuniti menerusi penyediaan perkhidmatan kewangan yang mampan dan terangkum,” katanya.

Beliau berkata, Arrow beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat di sekitar Bintulu seperti di kawasan Tatau, Sebauh, Sungai Asap, Nyalau dan Kuala Tatau.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pengenalan Arrow selaras dengan hasrat negara untuk mewujudkan pembangunan seimbang bandar dan luar bandar.

“Akses kemudahan sebegini membolehkan komuniti mendapatkan perkhidmatan perbankan tanpa perlu bergerak ratusan kilometer untuk ke bandar. Pada masa yang sama, akses perkhidmatan kewangan yang ditawarkan oleh Arrow juga dapat meningkatkan aliran tunai di kawasan setempat.

“Ia bukan sahaja memudahkan masyarakat setempat melakukan transaksi kewangan, malah inisiatif ini juga memudahkan usahawan dan koperasi menjalankan urusan perniagaan harian menerusi saluran alternatif ini,” katanya.

Arrow telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama Wan Junaidi di Kuching, Sarawak.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!