1,004 pekerja SWM bertugas pada 1 Syawal

Mohd Norlisam (tiga dari kiri) menunjukkan kempen kitar semula, pada Jumaat.
Mohd Norlisam (tiga dari kiri) menunjukkan kempen kitar semula, pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 1,004 pekerja SWM Environment di negeri ini akan bertugas melakukan kerja-kerja kutipan sisa pepejal pada hari raya pertama.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, bagi melancarkan kerja-kerja pengoperasian, sebanyak 95 kompaktor dan 48 lori terbuka akan bertugas melakukan kerja-kerja kutipan sisa pepejal pada hari tersebut.

“Pada hari raya kedua pula, seramai 1,417 pekerja akan bertugas dengan 110 kompaktor dan 54 lori terbuk, manakala pada hari raya ketiga semua pekerja kembali bertugas sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Wisma Negeri di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kampung Baru dan Kerajaan Tempatan, Teo Kok Seong.

Dalam pada itu, Mohd Norlisam berkata terdapat anjakan jadual kutipan sisa pepejal bagi daerah Seremban, iaitu di kawasan Seremban 3 dan Rasah Jaya (Taman Nuri Indah Kecil, Taman Punca Emas dan Taman Loop) akan dilaksanakan pada 13 Mei manakala kawasan Templer dan Mambau pula pada 14 Mei.

"Anjakan jadual kutipan juga turut melibatkan daerah Nilai iaitu di Pajam, Semarak, Mantin, Pekan Nilai, Labu, Enstek, Kuarters KLIA, Labu, Gadong, Seremban Jaya dan Bandar Seremban Selatan yang akan dilakukan pada 14 Mei.

"Bagi daerah Rembau pula, kawasan yang terlibat ialah Taman Sri Rembau Fasa 1, Fasa 2 dan Lot Banglo, Taman Kota Indah, Pekan Kota, Pekan Astana Raja dan Rumah Rakyat Lubok akan dilakukan pada 12 Mei," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, SWM Environment turut memantau kawasan tumpuan awam agar keadaan sentiasa bersih.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara lokasi yang diberikan tumpuan khusus ialah lokasi-lokasi aktiviti mantai (12), pasar awam (32), pasar tani dan pasar tani mega (14), bazar Ramadan (52), bazar Raya (7), pusat membeli-belah dan pasaraya (47), tong sampah berpusat (65), rumah pangsa dan apartment (38), kem tentera (13) dan pantai serta lokasi tumpuan pelancong (10).

"Anggota kerja juga sentiasa diingatkan untuk menggunakan alat keselamatan diri (PPE) yang lengkap seperti sarung tangan dan penutup hidung dan mulut serta menggunakan pembersih tangan bagi menjaga kebersihan diri sepanjang masa agar terhindar daripada jangkitan wabak Covid-19.

"Orang ramai diminta untuk mengamalkan tatacara pelupusan sampah dengan berhemah iaitu memasukkan sampah ke dalam bungkusan plastik, mengikat kemas bungkusan plastik sampah dan membuangnya ke dalam tong sampah.

"Bagi sisa kitar semula, sisa taman dan sisa pukal pula perlu diletakkan di tepi tong sampah beroda pada hari kutipan +1, satu kali seminggu," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan perkhidmatan SWM Environment boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472.