Mahu pinjam RM30,000 duit sendiri lesap RM57,397

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson membuka lima kertas siasatan berhubung penipuan pinjaman tidak wujud, membabitkan keseluruhan kerugian berjumlah RM80,537, bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, ini termasuk tiga kes terbaru melibatkan tawaran menerusi Facebook dalam tempoh 27 hingga 29 April lepas, kesemuanya melibatkan kerugian berjumlah RM71,091.

Menurutnya, kes pertama membabitkan seorang suri rumah berumur 28 tahun yang kini berputih mata akibat ditipu selepas membuat bayaran secara berperingkat berjumlah keseluruhan RM57,397 ke dalam enam akaun bank berbeza kepada individu yang dipercayai daripada syarikat pinjaman wang berlesen.

“Wanita itu memohon pinjaman peribadi sebanyak RM30,000 daripada syarikat tersebut untuk memulakan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata, kes kedua melibatkan seorang pengusaha makanan berumur 38 tahun yang kerugian RM11,834 selepas diperdaya empat individu yang mengaku sebagai ejen bank.

Jelasnya, lelaki itu memohon pinjaman RM30,000 daripada ejen tersebut bagi mengembangkan perniagaannya dan telah mendepositkan duit tersebut secara berperingkat ke dalam tiga akaun bank berbeza.

Menurut Aidi Sham, kes ketiga pula melibatkan seorang pekerja hotel berumur 34 tahun yang berurusan dengan dua individu untuk pinjaman peribadi sebanyak RM10,000 dan diminta membuat bayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM1,860 ke dalam dua akaun berbeza.

“Kesemua mangsa membuat pembayaran tersebut untuk tujuan wang jaminan, bayaran pendahuluan kemampuan, wang proses, wang insurans, yuran guaman dan pelbagai alasan lagi. Kesemua mangsa menyedari diperdaya setelah wang pinjaman yang dijanjikan gagal diperoleh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, usaha memburu pihak terlibat sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.