IPI Malaysia dijangka terus pulih

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia dijangka terus berada dalam mod pulih sehingga akhir tahun selepas melonjak 9.3 peratus tahun ke tahun pada Mac 2021. Gambar hiasan. - Foto 123RF
Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia dijangka terus berada dalam mod pulih sehingga akhir tahun selepas melonjak 9.3 peratus tahun ke tahun pada Mac 2021. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia dijangka terus berada dalam mod pulih sehingga akhir tahun selepas melonjak 9.3 peratus tahun ke tahun pada Mac 2021.

Menurut Public Investment Bank Bhd (PIVB), jangkaan pertumbuhan akan didorong oleh pemulihan dalam keadaan pandemik global, migrasi rangkaian selular global dan pembukaan semula sepenuhnya di ASEAN.

"Ia akan turut dirangsang oleh China dan ekonomi utama yang akan melonjakkan permintaan antaranya elektrik dan elektronik (E&E) dan produk berkaitan dan seterusnya dirancakkan lagi oleh perbelanjaan rangsangan fiskal global yang besar yang akan meningkatkan aktiviti penggunaan dan pelaburan," katanya dalam satu nota pada Jumaat.

Bank pelaburan itu menjangkakan pertumbuhan akan terus dibantu oleh kadar faedah akomodatif yang mungkin dikekalkan sepanjang 2021.

"Ini akan menyokong komponen utama IPI, terutamanya pembuatan dan elektrik," katanya.

PIVB menambah komponen perlombongan mungkin mendapat keuntungan daripada pertambahan pengeluaran Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC +), yang dijangka bermula Mei dan bulan-bulan seterusnya.

"Itu adalah perkembangan positif yang mungkin berlanjutan sehingga akhir tahun ataupun lebih lama lagi,” tambahnya.

Ia turut menyatakan risiko penurunan terhadap IPI mungkin muncul daripada prospek rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS) -China yang mungkin dimulakan pada separuh kedua tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Ketidakpastian daripada keputusan rundingan boleh mendorong para pelabur untuk berhati-hati yang sebaliknya pula akan mempengaruhi permintaan untuk produk pembuatan, tambahnya.

Pada Khamis, Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) mengumumkan IPI Malaysia melonjak 9.3 peratus pada bulan Mac 2021 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya didorong terutama oleh indeks pembuatan dan elektrik.

DoSM menyatakan IPI Mac juga tertinggi sejak Julai 2013. - Bernama