X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Agrobank lancar Bank Bergerak pertamanya di Malaysia

Abang Johari menyempurnakan acara Flag-Off di Majlis Pelancaran Bank Bergerak Agrobank di Kuching, Sarawak.
A
A

SHAH ALAM - Agrobank melancarkan Bank Bergerak pertamanya dan merupakan antara bank yang pertama di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan tersebut di sembilan kawasan bagi membantu komuniti luar bandar di Sarawak.

Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang berkata, Bank Bergerak ini merupakan komitmen berterusan Agrobank untuk membantu golongan yang kurang mendapat perhatian ke arah mencapai rangkuman kewangan dan memperluaskan akses pembiayaan yang merupakan inisiatif kerajaan negeri Sarawak dan Bank Negara Malaysia Sarawak.

Menurutnya, Agrobank akan terus memberikan komitmen yang berterusan dalam menyokong inisiatif kerajaan negeri Sarawak dalam mencapai rangkuman kewangan dan pada masa sama membantu pertumbuhan ekonomi komuniti luar bandar.

“Dengan potensi pembangunan kegiatan ekonomi di Sarawak, Agrobank melihat keperluan yang lebih besar untuk membantu mendorong peningkatan ekonomi negeri Sarawak.

“Kami berbesar hati memperkenalkan perkhidmatan perbankan mobil ini dan berbangga menjadi antara bank yang pertama menyediakan perkhidmatan seumpama ini kepada penduduk di wilayah selatan Sarawak iaitu; Padawan, Bau, Lundu, Sematan, Linggan, Pantu, Tebedu, Asajaya dan Sebuyau,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, majlis pelancaran Bank Bergerak telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Kuching, Sarawak.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, lebih 72 peratus cawangan dan kiosk Agrobank terletak di kawasan luar bandar dan Agrobank berkeyakinan perkhidmatan kewangan yang komprehensif merupakan salah satu medium untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi sekali gus meningkatkan pemerkasaan individu dan komuniti.

“Usaha Agrobank ini telah dilaksanakan seawal tahun 1994 di mana Agrobank pada ketika itu telah melancarkan Patriot Rejang yang merupakan perkhidmatan perbankan bergerak pertama seumpamanya di Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan perbankan atas bot yang merentasi Sungai Rejang khusus buat komuniti di Kapit, Sibu dan Belaga.

“Hari ini, usaha kami diteruskan dengan pelancaran Bank Bergerak ini yang akan mewujudkan perkhidmatan perbankan bagi memudahkan masyarakat luar bandar di Sarawak. Ia sejajar dengan objektif bank yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat yang kurang mendapat perhatian,” katanya.

Beliau berkata, Agrobank sentiasa berusaha untuk mengimbangi peranan pembangunan dan komersialnya dengan menyediakan pembiayaan rantaian nilai penuh untuk sektor pertanian.

“Ia termasuklah aktiviti huluan seperti aktiviti pertanian berasaskan makanan dan komoditi, seterusnya kepada aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan penjualan produk berasaskan pertanian,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!