X

Kindly register in order to view this article
!

PDRM Bukit Mentok meriahkan malam tujuh likur

Antara kreativiti yang ditampilkan menerusi pertandingan keceriaan dan pencahayaan malam tujuh likur di kawasan perumahan PDRM Bukit Mentok, Kemaman.
A
A

KEMAMAN - Walaupun tidak dapat pulang beraya di kampung halaman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Mentok, di sini mengambil inisiatif mengadakan pertandingan keceriaan dan pencahayaan sempena meraikan malam tujuh likur menjelang Aidilfitri.

Urusetia pertandingan, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah berkata, program anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman itu antara lain bertujuan memupuk semangat kerjasama kejiranan dan mengembangkan kreativiti penghuni yang tinggal di perumahan itu.

"Inisiatif pertandingan ini sebenarnya dicetuskan oleh Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan.

"Ia direalisasikan supaya setiap anggota dapat merasai keseronokan menyambut hari raya bersama rakan setugas setelah tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga di kampung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Antara peserta yang menyertai pertandingan keceriaan dan pencahayaan malam tujuh likur kawasan perumahan PDRM Bukit Mentok, Kemaman.
Antara peserta yang menyertai pertandingan keceriaan dan pencahayaan malam tujuh likur kawasan perumahan PDRM Bukit Mentok, Kemaman.

Mohd Khairi berkata, sebanyak sembilan kumpulan terdiri daripada blok, jalan dan lorong di kawasan perumahan PDRM Bukit Mentok menyertai aktiviti yang julung kali diadakan sejak perumahan itu didiami pada 2006.

"Pertandingan ini telah bermula pada 24 April lalu dan berakhir semalam (6 Mei 2021). Selain memupuk semangat kejiranan dan mencungkil bakat serta kreativiti, ia juga bertujuan melatih diri menjaga kebersihan kawasan persekitaran kediaman masing-masing.

"Semua anggota dan pegawai polis di kawasan perumahan ini bergotong-royong menghiasi bangunan, jalan dan lorong di kawasan perumahan mereka dengan pelbagai jenis lampu bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

Kawasan lorong dan jalan di perumahan PDRM Bukit Mentok disimbahi cahaya sempena pertandingan keceriaan dan pencahayaan malam tujuh likur yang julung kali diadakan di perumahan tersebut.
Kawasan lorong dan jalan di perumahan PDRM Bukit Mentok disimbahi cahaya sempena pertandingan keceriaan dan pencahayaan malam tujuh likur yang julung kali diadakan di perumahan tersebut.

Beliau berkata, empat kriteria yang akan melayakkan pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 iaitu kebersihan, pencahayaan, kreativiti dan kerjasama bagi setiap penghuni.

"Semua peserta akan diadili oleh empat juri yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Asisten Superintendan Zul Ilham Abdul Rahim, Ketua Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS), Asisten Superintendan Mohd Pazwannie Mah Husin, Inspektor Azlizawani Adenan dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan juri awam, Zawawi Ahmad.

"Majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Kemaman di Surau Al - Hidayah Perumahan PDRM Bukit Mentok pada 9 Mei nanti," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!