TNB tampil filem Aidilfitri ‘Hikmah Raya Aida’

Filem ‘Hikmah Raya Aida’ ditayangkan di YouTube rasmi TNB bermula 6 Mei 2021 dan akan disiarkan di stesen TV utama bermula 10 Mei 2021.
Filem ‘Hikmah Raya Aida’ ditayangkan di YouTube rasmi TNB bermula 6 Mei 2021 dan akan disiarkan di stesen TV utama bermula 10 Mei 2021.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Watak Aida yang dikenali menerusi filem Aidilfitri Tenaga Nasional Berhad (TNB) kembali diangkat menerusi filem baharu bertajuk ‘Hikmah Raya Aida’.

Ketua Komunikasi Korporat TNB, Shukreen Ma berkata, atas permintaan ramai, TNB membawakan semula Aida, watak yang tidak asing lagi dalam filem raya TNB yang pernah diangkat bermula 2017.

Menurutnya, filem tersebut menekankan pentingnya meluangkan masa bersama keluarga dan mengeratkan hubungan dalam apa jua keadaan.

“Dalam filem ini, kita dapat melihat bagaimana Aida yang terlalu sibuk sebagai seorang usahawan kuih raya sehingga tidak mempunyai masa untuk meluangkan bersama keluarga.

"Uniknya dalam filem ini, kita lihat bagaimana di sebalik pandemik yang melanda, ia memberikan hikmah buat Aida dan keluarganya, barangkali serupa juga dengan ramai antara kita dalam menempuhi musim yang mencabar ini.

“Di TNB, kami berpandukan kepada matlamat untuk bekerjasama bagi menerangi kehidupan ke arah dunia yang lebih sejahtera. Filem pendek yang sarat dengan nasihat ini menterjemahkan matlamat ini dalam kehidupan kita dengan menekankan betapa pentingnya meluangkan masa bersama keluarga baik ketika senang, mahupun sukar," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Shukreen Ma
Shukreen Ma

Filem arahan pengarah berkaliber, Quek Shio Chuan secara keseluruhannya digarap dalam bentuk yang lebih segar dengan menyelitkan unsur-unsur komedi dalam jalan cerita yang sarat emosi.

Artikel Berkaitan:

Filem ini mengikuti perjalanan Aida, di mana pada tahun 2017 dia bermula sebagai penjual kuih raya secara kecil-kecilan dan kini perniagaan kuih rayanya telah maju.

Dalam kesibukan membina empayar kuih rayanya, dia kerap kali terlepas pandang mengenai keluarga yang memerlukan perhatiannya meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh keluarganya dalam percubaan mereka untuk mendekati Aida.

Namun, ketika Aida bersedih mengenai pandemik yang telah mengubah nasib perniagaannya, ibunya berjaya memujuk Aida untuk meluangkan masa membantu keluarga bagi persiapan raya sekali gus telah memberi kesedaran kepada Aida.

Dalam filem ini, watak kucing kegemaran ramai, Jero sengaja dihilangkan agar penonton dapat mengikuti kisah Jero beraya bersama keluarganya di media sosial TNB.

Filem ‘Hikmah Raya Aida’ ditayangkan di YouTube rasmi TNB bermula 6 Mei 2021 dan akan disiarkan di stesen TV utama bermula 10 Mei 2021.