Amaran tegas jangan 'bela' penguat kuasa

Ain Arjuna (tengah) semasa membuat pemeriksaan barangan harga terkawal di Pasar Sementara Ampangan, pada Jumaat.
Ain Arjuna (tengah) semasa membuat pemeriksaan barangan harga terkawal di Pasar Sementara Ampangan, pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, memberi amaran kepada semua peniaga supaya tidak 'membela' pegawai penguatkuasanya.

Pengarah KPDNHEP negeri, Ain Arjuna Aziz Azman berkata, mereka boleh dikenakan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dilaporkan kepada Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard.

"Jangan sesekali cuba 'membela' atau memberi 'duit kopi' kepada penguat kuasa KPDNHEP bagi mengelak dikenakan kompaun kerana tindakan itu tidak berbaloi," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Pasar Sementara Ampangan, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ain Arjuna mengakui semua badan beruniform terdedah dengan perkara tersebut namun beliau yakin pegawai penguat kuasa KPDNHEP di negeri itu amanah dengan tugas serta mempunyai integriti kerja yang tinggi.

Katanya, sehingga tempoh ini, tiada pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan yang dikenakan tindakan atas kesalahan rasuah atau dibela oleh peniaga.

"Gaji dan elauan yang mereka terima setiap bulan sudah mencukupi, tidak perlu lagi duit kopi atau duit minyak," katanya.

Ain Arjuna menunjukkan cili yang merupakan salah satu barangan terkawal.
Ain Arjuna menunjukkan cili yang merupakan salah satu barangan terkawal.

Jelas Ain Arjuna, jika terdapat maklumat mengenai perbuatan tersebut, orang ramai boleh salurkan aduan mereka ke Pejabat KPDNHEP berdekatan, dengan disertakan bukti yang kukuh bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengenai Skim Harga Kawalan Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 beliau berkata, KPDNHEP negeri memeriksa sebanyak 1,491 membabitkan pemborong, peruncit, pasar raya besar, pasar mini, kedai runcit, pasar awam dan pasar tani sejak pada 21 April lepas hingga semalam.

Katanya, daripada jumlah pemeriksaan itu satu tindakan telah diambil terhadap peniaga membabitkan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum.

"Sebarang aduan mengenai peniaga boleh dibuat dengan merujuk kepada portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, talian Hotline KPDNHEP 1800-886-800, e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi Telefon Pintar EzADU, Pusat Arahan Penguatkuasaan, WhatsApp ke 019-279 4317," katanya.