X

Kindly register in order to view this article
!

Varian Afrika Selatan: Rakyat dinasihat perkasa normal baharu

Rakyat negeri Perak dinasihatkan berwaspada dan terus memperkasa amalan norma baharu susulan penemuan virus Covid-19 varian Afrika Selatan yang dilaporkan di negeri itu kerana ia sangat mudah berjangkit.
A
A

IPOH - Rakyat negeri Perak dinasihatkan agar berwaspada dan terus memperkasa amalan norma baharu susulan penemuan virus Covid-19 varian Afrika Selatan (B.1.351) yang dilaporkan di negeri itu kerana ia sangat mudah berjangkit.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perak (Kesihatan Awam) Dr Ummi Kalthom Shamsudin ketika dihubungi Bernama berkata, varian itu dikesan di Perak selepas sampel terpilih daripada kes-kes positif dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk penjenisan gen lengkap beberapa minggu lepas.

"Menteri Kesihatan telah mengumumkan penemuan varian ini di Perak dan Kelantan. Semua warga Perak perlu berwaspada dan bukan hanya daerah tertentu sahaja kerana ia sangat mudah berjangkit," katanya tanpa mendedahkan butiran mengenai varian itu.

Jabatan Kesihatan Negeri Perak dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook rasminya memaklumkan virus itu sangat mudah menjangkiti individu dan orang ramai dinasihatkan memakai pelitup muka dengan betul serta menjaga penjarakan fizikal bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

"Elakkan berada di kawasan sesak atau sempit, amalkan kerap mencuci tangan dan elakkan bersentuhan. Adalah dinasihatkan juga kepada semua untuk tidak menghadiri atau mengadakan sebarang majlis sosial bagi mengelakkan jangkitan berlaku," menurut kenyataan itu.

Sebanyak 137 kes baharu dilaporkan di Perak semalam melibatkan 120 jangkitan tempatan manakala 17 lagi kes jangkitan dari luar Perak. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!