Cukai terlalu tinggi dorong ekonomi gelap bermaharajalela

Lee Heng Guie
Lee Heng Guie
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah sistem percukaian lebih mudah dan penguatkuasaan dipertingkatkan boleh membantu pihak berkuasa menutup ketirisan RM300 bilion akibat aktiviti ekonomi gelap, kata seorang ahli ekonomi terkemuka, baru-baru ini.

Istilah ‘ekonomi gelap’ merujuk kepada barangan dan perkhidmatan yang dibayar secara tunai tetapi tidak dicatat atau diisytihar untuk cukai.

Ini merangkumi hasil daripada rasuah, perjudian tidak sah, dan perdagangan haram.

Di Malaysia, penyumbang utama bagi ekonomi gelap ini ialah perdagangan rokok seludup.

Pasaran gelap ini telah mengakibatkan negara kerugian kira-kira RM5 bilion dari segi kehilangan hasil cukai setiap tahun.

Jika kerajaan dapat menutup ketirisan besar ini, kerajaan tentunya tidak perlu terpaksa menggunakan Dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) pula untuk menampung pembiayaan program vaksin Covid-19.

Pada Persidangan Cukai Malaysia 2021 baru-baru ini, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Lee Heng Guie berkata, ekonomi gelap negara ini sangat berbeza dibandingkan dengan negara lain, walaupun keadaan sudah beransur baik dalam tempoh dua dekad ini.

Beliau berkata, pertambahan beban cukai dan pembayaran keselamatan sosial adalah faktor penyumbang bagi ekonomi gelap kerana sekaligus meningkatkan kos buruh dan juga mendorong majikan dan kakitangan untuk turut serta di dalam ekonomi gelap.

Artikel Berkaitan:

“Secara alternatif, sistem cukai negara ini juga memainkan peranan penting. Cukai terlalu tinggi seperti mengenakan duti eksais ke attas industri sah (rokok dan arak) bagi mengurangkan tabiat merokok dan menggalakkan gaya hidup sihat dan pada masa sama, menambah hasil negara, sebenarnya mendorong penggunaan produk tidak sah dan menyemarakkan aktiviti penyeludupan.

“Ini mengakibatkan kehilangan hasil berbilion ringgit kepada kerajaan akibat penyeludupan. Malah, negara yang mengenakan kadar cukai rendah, bilangan sedikit peraturan dan perundangan serta undang-undang ditegakkan, lazimnya memiliki ekonomi gelap yang lebih kecil,” kata Lee.

“Selain itu, tadbir urus yang lemah dengan pelaksanaan sisem dan peraturan cukai yang tidak cekap serta ikut budi bicara sendiri, menyemai budaya rasuah berkembang. Beberapa kajian mendapati wujudnya banyak rasuah adalah akibat ekonomi gelap yang besar.

“Kos mahal peraturan dan pematuhan menambah kos buruh kepada syarikat-syarikat, yang seterusnya mendorong ke arah ekonomi gelap. Kajian menunjukkan bahawa dalam kalangan 84 ekonomi maju, peralihan dan membangun, pertambahan 1 mata di dalam indeks peraturan (dari 1 hingga 5) dikaitkan dengan pertambahan 10 peratus di dalam ekonomi gelap,” jelas beliau.

Menurut Lee, ekonomi gelap Malaysia diunjurkan mewakili 21peratus keluaran dalam negara kasar dan berdasarkan nilai nominal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019, ia berjumlah kira-kira RM300 bilion.

“Dalam jangka panjang, ia boleh meruntuhkan sistem cukai, mendatangkan hasil yang rendah bagi kerajaan dan merosakkan harga dan menghalang persaingan di pasaran,” katanya.

Lee menyenaraikan tiga jenis ketirisan di dalam ekonomi gelap yang boleh ditangani, termasuk mengurangkan kerumitan sistem cukai, yang akan memberi kesan secara positif ke atas tahap pematuhan; menggalakkan pembayaran rasmi bagi transaksi perniagaan selain penggunaan big data, analitiks dan Kecerdasan Buatan (AI).

Strategi lain ujar beliau, merangkumi pentadbiran cukai yang diperbaiki, meningkatkan perkongsian maklumat perisikan dalam kalangan agensi kerajaan dan menubuhkan pasukan petugas untuk memantau aktiviti ekonomi perkongsian dan gig yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi gelap.

“Keberkesanan pengurusan ekonomi gelap memerlukan tindakan di setiap peringkat, termasuk kerajaan, bandar-bandar, masyarakat setempat dan individu. Ia adalah pendekatan menyeluruh kebangsaan.

“Perkara pertama kita perlukan ialah meningkatkan kesedaran awam menerusi pendidian, berita (rakyat) bahawa menjadi tanggungjawab mereka untuk membayar cukai bagi membantu pembangunan sosio-ekonomi, dan Kerajaan dan kementerian-kementerian mesti bertanggungjawab ke atas setiap ringgit cukai yang dikutip dan membelanjakannya dengan bijak dan berwibawa,” ujar Lee.