Demi kasih, cikgu usahakan baju raya RM1 untuk pelajar

Koleksi pakaian terpakai di Butik Kasih yang diilhamkan SMK Kampong Pasir Puteh dijual pada harga RM1.
Koleksi pakaian terpakai di Butik Kasih yang diilhamkan SMK Kampong Pasir Puteh dijual pada harga RM1.
A
A
A

IPOH - "Baju raya saya mungkin berharga RM1, tetapi sangat besar maknanya kepada saya," kata Nurul Hafiza Abdul Fattah, 19, ketika membeli baju kurung menerusi program 'Butik Kasih' yang dilaksanakan di sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Pasir Puteh di Lahat di sini.

Butik Kasih hasil cetusan seorang guru Bahasa Melayu sekolah berkenaan, Abdul Aziz Zakaria untuk membantu pelajar memerlukan memiliki pakaian dan kasut terpakai yang berkualiti dengan harga terendah.

Pakaian terdiri baju kurung, tudung dan kasut terpakai itu dijual dengan harga RM1 dan bagi pelajar yang tidak mampu, mereka dibenarkan mengambilnya secara percuma.

Nurul Hafiza yang kini berada di Tingkatan Enam tidak mahu membebankan ibu bapanya membeli pakaian baharu bagi menyambut Aidilfitri kerana disifatkan agak mahal.

"Ayah bekerja sebagai tukang kebun, ibu pula suri rumah, kalau ikutkan saya memang tak ada banyak baju kurung sebab itu saya berhasrat untuk membelinya di sini," katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu mengakui, langsung tidak malu atau segan untuk memakai pakaian berkenaan kerana ia masih dalam keadaan baik.

"Semua pakaian dan kasut di sini masih elok dan cantik, tidak nampak pun macam baju lama.

"Saya berterima kasih kepada guru dan sekolah atas inisiatif yang murni ini sekali gus memberi kesempatan memiliki baju kurung untuk raya tahun ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Guru-guru membantu Nurul Hafiza (kiri) membuat pilihan baju kurung yang terdapat di Butik Kasih SMK Kampong Pasir Puteh, Ipoh.
Guru-guru membantu Nurul Hafiza (kiri) membuat pilihan baju kurung yang terdapat di Butik Kasih SMK Kampong Pasir Puteh, Ipoh.

Butik Kasih merupakan inisiatif baharu SMK Kampong Pasir Puteh selepas kejayaan menubuhkan Gerobok Rezeki, Februari lepas.

Abdul Aziz berkata, sebelum ini pengurusan sekolah telah menyumbang pakaian sekolah secara percuma kepada pelajar kurang berkemampuan sebagai satu cara meringankan beban ibu bapa.

Katanya, kesinambungan daripada itu, tercetus idea mewujudkan ruang pakaian terpakai untuk kegunaan pelajar yang memerlukan.

"Alhamdulillah, usaha ini mendapat sokongan dan kami menerima banyak sumbangan pakaian dan kasut terpakai daripada pelbagai pihak.

"Sebagai guru, kami sentiasa berusaha mencari jalan membantu pelajar-pelajar di sini yang kebanyakannya daripada kumpulan B40," katanya.

Beliau yang akan bersara pada Jun depan berharap, sumbangan terakhirnya kepada sekolah itu dapat memberi manfaat kepada pelajar dan keluarga mereka yang terkesan teruk disebabkan Covid-19.

"Kedai seperti itu adalah 'harta karu'n bagi mereka. Siapa tahu, apa yang dapat mereka temukan di sini adalah keinginan yang sebelum ini tidak dapat dipenuhi," katanya.

Sementara itu, Pengetua sekolah itu, Razak Malek Taharim berkata, selaras dengan arahan penutupan sekolah, pihaknya akan menggunakan aplikasi WhatsApp dan Telegram untuk menjual barang-barang tersebut.

"Ia akan dikendalikan oleh Persatuan Tingkatan Enam sekolah dan kami berharap inisiatif ini dapat diteruskan walaupun sekolah ditutup," katanya.

Mereka yang ingin menyumbang kepada Butik Kasih dan Gerobok Rezeki, mereka boleh melakukannya dengan menghubungi sekolah di talian 05-322 5150.