X

Kindly register in order to view this article
!

'Raya sepi tanpa baba'

Nur Khairunnisa (kanan) bersama ibu dan adik bongsunya menunjukkan gambar bapanya yang sehingga kini masih belum ditemui selepas dikhuatiri lemas sejak Januari lalu. Gambar kecil: Ahmad Amin
A
A

IPOH - Setia menunggu kepulangan bapa walaupun terpaksa menerima hakikat kehilangannya.

Kenyataan itu cukup memeritkan buat Nur Khairunnisa Ahmad Amin, 29, apabila bapanya, Ahmad Amin Ismail, 58, yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus air longkang di Lebuh Persiaran Klebang 11, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dekat Chemor Januari lalu, masih belum ditemui.

Nur Khairunnisa berkata, rasa pilu itu lebih terasa menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut minggu hadapan.

Menurutnya, bapa yang dipanggil baba itu seorang yang cukup bersemangat dan sentiasa ringan tulang membantu ibu serta mereka tiga beradik membuat persiapan raya.

"Daripada warna baju, buat kuih raya hinggalah hal karpet dan langsir rumah, semuanya dia aturkan sama-sama dengan ummi (ibu) dan kami adik-beradik.

"Kalau ikutkan waktu sekarang, sepatutnya kami dah sibuk mengemas rumah, pergi ke kedai mencari baju raya, petang pula sibuk di dapur buat kuih, baba paling suka kuih semperit dan kuih sampan buah," katanya ketika ditemui sempena lawatan kebajikan Ketua Polis Daerah Ipoh di kediamannya di Chemor di sini pada Khamis.

Nur Khairunnisa berkata, pada Disember iaitu sebulan sebelum kejadian, bapanya mencadangkan agar Aidilfitri tahun ini mereka sekeluarga memakai pakaian sedondon berwarna kuning.

Asmadi bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh (Operasi), Superintenden Lee Swee Sake (kanan) ketika menemui Khadijah sempena lawatan kebajikan Ketua Polis Daerah Ipoh pada Khamis.
Asmadi bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh (Operasi), Superintenden Lee Swee Sake (kanan) ketika menemui Khadijah sempena lawatan kebajikan Ketua Polis Daerah Ipoh pada Khamis.

Bagaimanapun katanya, dalam nada bergurau, bapanya mengatakan yang kemungkinan dia tidak sempat untuk memakai pakaian berkenaan.

"Apabila ummi tanya kenapa, baba hanya senyap, dia juga kerap kali titipkan pesan kepada saya jaga diri baik, pesanan yang sama dia beri pada ummi dan adik beradik yang lain seolah-olah tahu akan pergi jauh, cuma ketika itu kami sahaja yang tidak faham," katanya.

Dia berkata, Aidilfitri kali ini terasa kosong, hanya ibu, dan adik perempuan, Izzati Sabrina, 18, berada di rumah sementara abangnya, Mohd Zulkarnain, 33, bekerja di Rawang, Selangor tidak dapat pulang atas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tahun ini kami tak buat apa-apa persiapan pun, tiada baju baru mahupun kuih raya," katanya.

Sementara itu, Khadijah Din, 59, berkata, sejak kehilangan suaminya dilaporkan pada 14 Januari lalu, dia bersama anak-anaknya tidak putus berusaha melakukan pencarian di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh dan hilang.

Katanya, mereka sanggup meraduk air parit dan sungai hingga ke bawah jambatan dan perangkap sampah bagi mendapatkan petunjuk baharu sebagai penguat semangat mengharungi kehidupan mendatang.

"Meskipun sudah hampir lima bulan berlalu, harapan kami tak pernah padam. Operasi mencari dan menyelamat telah lama dihentikan, tetapi semangat kami tetap ada. Hampir setiap petang mak cik dan anak ke sana lakukan pencarian, kali terakhir sehari sebelum Ramadan lepas, masih tidak temui apa-apa.

"Dulu hati mak cik mengatakan dia masih ada, tetapi naluri sekarang ini kuat mengatakan yang suami dah tak ada, mak cik hanya mengharapkan keajaiban agar suami dapat ditemui," katanya yang turut kehilangan anak kedua pada 2019 lalu akibat gejala jantung bengkak.

Dalam kejadian sekitar jam 7.30 petang itu, Ahmad Amin dipercayai dihanyutkan air selepas motosikal jenis Yamaha Ego S ditunggangnya terbabas lalu terjatuh ke dalam longkang.

Gerakan mencari mangsa telah diperluaskan oleh pasukan penyelamat dari Sungai Kinta hingga Teluk Intan di daerah Hilir Perak sejauh 90 kilometer yang turut membabitkan sukarelawan menggunakan bot dan kayak itu, belum menemui sebarang petunjuk terhadap kehilangan mangsa.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ahli keluarga boleh mengambil langkah mengikut undang-undang mendapatkan perintah mahkamah berhubung kehilangan mangsa untuk diisytiharkan sebagai sudah meninggal dunia bagi memudahkan proses tuntutan dan agihan harta.

"Kita memahami kepayahan keluarga ini yang hilang ketua keluarga dan mata pencarian. Sekarang ini kita hanya harapkan keajaiban, jika ada sebarang penemuan, maka bolehlah kita lakukan ujian DNA dan sebagainya untuk menentusahkan kematian, namun dalam tempoh lebih empat bulan ini, tiada sebarang petunjuk ditemui," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!