Isu pembuangan sisa makanan perlu diatasi

No Image Caption
A
A
A

TIMBALAN Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib melahirkan kebimbangan terhadap isu pembuangan sisa makanan di Malaysia yang turut menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Menerusi satu majlis di ibu negara, Ismail berkata, jumlah sisa pepejal yang dibuang di Malaysia ialah sebanyak 38,120 tan sehari. Daripada jumlah itu, 44.5 peratus melibatkan sisa makanan iaitu bersamaan 17,000 tan sehari.

Jika dibuat perbandingan, keseluruhan sisa makanan yang dibuang itu boleh memuatkan tujuh buah kolam renang Sukan Olimpik. Satu jumlah yang besar.

Lebih mendukacitakan, sebanyak 4,080 tan merupakan makanan yang masih elok atau luput tercemar, manakala nasi dan roti paling banyak dibazirkan. Jumlah itu cukup untuk memberi makan kepada tiga juta rakyat Malaysia sehari.

Ketika bulan Ramadan pula, jumlah pembuangan sisa makanan semakin meningkat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), Datuk Mohd Zain Hassan, makanan yang tidak dihabiskan atau tidak terjual di bazar Ramadan merupakan penyumbang utama kepada peningkatan kutipan harian sisa pepejal.

Sebenarnya isu pembuangan sisa makanan terutama di bulan Ramadan bukan perkara baharu.Antara punca utama ialah sikap segelintir rakyat Malaysia membeli secara berlebihan, menyimpan makanan tidak sempurna serta faktor gaya hidup mewah.

Ramadan sepatutnya menjadi bulan mengawal hawa nafsu tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Justeru kempen dilaksanakan kerajaan bagi mendidik rakyat Malaysia supaya mengelakkan pembaziran makanan adalah baik, namun sejauh mana sambutan orang ramai menjadi persoalan.

Cuma apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di Selangor dan Kuala Lumpur, sedikit sebanyak membantu mengurangkan masalah itu apabila bazar Ramadan dan buffet tidak lagi dibenarkan.

Apabila tiada bazar Ramadan, mendorong orang ramai memasak di rumah atau sekurang-kurangnya membeli makan di luar dengan seadanya sahaja.