Pahang contoh terbaik kukuh gabungan MN

No Image Caption
A
A
A

PADA September 2019, UMNO dan Pas mencatatkan sejarah apabila memeterai Piagam Muafakat Nasional (MN) antara dua parti terbesar orang Melayu dan Islam itu.

Kerjasama dua parti itu bertaut sebaik kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan blok pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH) bertukar posisi menjadi kerajaan.

Namun, setelah setahun MN termeterai, wujud pula Perikatan Nasional (PN) dengan menyaksikan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan UMNO untuk mengambil alih Putrajaya yang sempat ditadbir PH selama 22 bulan.

UMNO kemudian menarik diri daripada PN dan hanya menyatakan sokongan kepada kerajaan Persekutuan tanpa menjadi komponen kepada parti gabungan itu.

Bagaimanapun, kerjasama politik antara UMNO dan Pas menerusi MN dilihat bergolak terutama di beberapa negeri sehingga merencatkan pentadbiran sesebuah kerajaan negeri.

Sungguhpun begitu, ketika gejolak politik antara dua parti itu berlaku di negeri lain, Pahang langsung tidak terkesan, malah kekal utuh ditadbir oleh pemerintahan sedia ada.

Selepas itu, dapat dilihat kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan di Pahang diperkukuhkan oleh kepemimpinan masing-masing.

Berikutan kerjasama itu, wujud persoalan adakah di Pahang kekal dengan MN atau PN? Walau apapun persepsi, kerajaan Pahang tidak dibentuk atas kerjasama antara gabungan PN.

Artikel Berkaitan:

Pahang adalah contoh terbaik bagi mengukuhkan gabungan MN dan nilai yang baik itu sewajarnya dicontohi oleh negeri-negeri lain.

Lihat sahaja pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang baru-baru ini, ia mencatat sejarah tersendiri apabila wujud kerjasama erat antara wakil rakyat UMNO dan Pas dalam MN.

Terbaharu, UMNO dan Pas Pahang secara rasmi telah menandatangani perjanjian tanpa sebarang pensengketaan dan krisis politik.

Calon

Malah, kedua-dua parti itu bersetuju untuk tidak meletakkan calon bertanding di DUN yang telah dimenangi sebelum ini pada PRU15.Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sepakat untuk tidak bertembung antara satu sama lain.

Begitu juga dengan Pas yang bersetuju untuk tidak akan meletakkan calon di 25 kerusi dimenangi BN pada PRU14 dan tidak akan menyokong mana-mana calon kecuali daripada BN atau UMNO yang dipilih sebagai calon di kerusi berkenaan.

Persetujuan itu jelas menunjukkan UMNO dan Pas Pahang sudah bersedia membentuk satu jajaran politik baharu, sekali gus mampu memberi saingan mantap pada pada PRU15 nanti.

Persefahaman baik MN Pahang diperakui penganalisis politik daripada Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Akmal Hisham yang melihat kedua-dua parti itu cuba memperkukuhkan kedudukan parti menerusi satu gabungan secara rasmi.

Katanya, pengaruh UMNO dan Pas di Pahang amat besar terutama di kawasan-kawasan luar bandar dan majoriti pengundi adalah Melayu Islam.

“Jadi, ini adalah satu usaha yang baik dan MN Pahang boleh dijadikan model untuk negeri lain.

Jika ingin diperkuatkan lagi MN ini, MN Pahang boleh mengundang Bersatu Pahang sebagai tanda persahabatan di peringkat negeri.

“Walaupun kita tahu di peringkat nasional berlaku perselisihan, namun MN Pahang boleh menjadi perintis atau model untuk menyatukan ketiga-tiga parti politik Melayu Islam ini,” ulasnya.

Namun, di sisi yang lain, kita dapat lihat Bersatu atau PN Pahang agak lemah dan sukar mencari pengaruh.

Tetapi, setiap negeri mempunyai perkiraan politik yang berbeza dan konteks yang berlainan.

Jika dilihat dalam ‘real politik’ sebenar, kombinasi UMNO dan Pas di Pahang sudah memadai untuk memastikan kemenangan mereka pada PRU akan datang.

* Norazwani Yusof ialah wartawan Sinar Harian Pahang