Adik jaga kakak cerebral palsy selepas ibu ditahan Imigresen

Nik Muhamad Firdaus Nik Ismail,22, (kanan) menyuap ayam bakar kepada kakaknya, Nik Fatihah Fatin, 29, yang berpenyakit cerebral palsy (CP) di Lorong Chicha, Berek 12, Kota Bharu.
Nik Muhamad Firdaus Nik Ismail,22, (kanan) menyuap ayam bakar kepada kakaknya, Nik Fatihah Fatin, 29, yang berpenyakit cerebral palsy (CP) di Lorong Chicha, Berek 12, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kasih yang tidak pernah putus terhadap darah daging sendiri mendorong seorang pemuda tabah menjaga kakaknya yang menghidap cerebral palsy (CP) di Lorong Chicha, Berek 12, di sini secara bersendirian.

Nik Muhamad Firdaus Nik Ismail,22, menggalas tanggungjawab itu terhadap Nik Fatihah Fatin, 29, yang cacat sejak lahir selepas ibu mereka yang merupakan warga Thailand ditahan Jabatan Imigresen Kelantan sejak dua bulan lalu kerana dokumen perjalanan yang sudah tamat tempoh.

Tambah memilukan apabila wanita tersebut, Saidoh Rosa,52, bakal dihantar pulang ke negara asalnya.

Nik Mohd Firdaus bagaimanapun merayu kepada pihak yang berkenaan supaya tidak menghantar ibunya pulang ke negara tersebut.

Kata penuntut jurusan Diploma Kejuruteraan Awam di Politeknik Kota Bharu itu,dia kini menjalani Latihan Praktikal di Jabatan Alam Sekitar Kelantan.

Kata anak ke enam dari tujuh beradik itu lagi, menjadi rutinnya bangun awal pagi mengendong kakaknya itu untuk dimandikan, menukar lampin dan menyuap bijirin sebagai sarapan sebelum dia keluar bekerja serta pulang pada jam 5 petang.

“Kakak tak boleh bercakap, kalau hendak apa-apa atau kesakitan, dia akan menangis dan menjerit sahaja terutama pada waktu malam.

“Dia kerap pukul diri sendiri, biasanya sebab sakit sembelit dan dia kuat menangis jika sakit pada bahagian perut ketika ‘datang bulan’,” katanya ketika ditemui sempena kunjungan Pengarah Pemasaran dan Jualan The Grand Renai, Raja Rusmin Raja Mahmud di rumah sewa mereka di Lorong Chicha, Berek 12, di sini, pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Kata anak yatim kematian bapa itu, dia pernah terlintas untuk lari meninggalkan kakaknya itu namun tidak sampai hati apabila memikirkan wanita itu adalah kakak kandungnya sendiri.

“Bapa kami, Nik Ismail Nik Ibrahim berasal dari Kota Bharu dan meninggal dunia semasa saya berusia 13 tahun. Saya tinggal bersama keluarga sebelah arwah di Kok Lanas sebelum datang tinggal bersama kakak dan ibu kerana rumah sewa ini dekat dengan tempat kerja.

“Kini, ibu ditangkap dan ditahan di Depot Tahanan Imigresen di Tanah Merah dan saya terpaksa jaga kakak seorang diri. Tak tergamak nak tinggal dia sendirian sebab dia kakak kandung saya dan saya merayu agar ibu tidak dihantar pulang ke Thailand,” katanya sebak.

Menurutnya, dia mempunyai lima lagi adik beradik yang lain tetapi mereka mempunyai kekangan kerja dan berada di luar Kelantan.

“Mereka datang jenguk dan hantar wang. Selain itu, kakak menerima bantuan Majlis Agama Islam secara ‘one off’ pada Mac lalu dan bantuan jiran-jiran serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula baru dibuat permohonan yang baharu kerana masalah teknikal sebelum ini menyebabkan hampir setahun sudah tidak menerimanya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu mereka boleh menyalurkan ke akaun Am Bank Nik Muhamad Firdaus Nik Ismail 8881033488953 atau menghubunginya di talian 010-5350893.