Padah ugut nak rempuh SJR, hina polis

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Tindakan seorang wanita memuat naik kata-kata kesat dan berunsur ugutan ditujukan kepada petugas sekatan jalan raya (SJR) di laman sosial Facebook miliknya mengundang padah apabila suspek diberkas polis pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, suspek yang menggunakan nama Diana Mat itu menujukan kata-kata tersebut kepada petugas SJR di Putrajaya.

"Antara yang ditulis wanita tersebut di akaun media sosialnya adalah 'aku pusing balik rempuh korang' dan 'kau dengan penjenayah sama je'.

"Siasatan awal mendapati sebelum laporan polis dibuat telah tular beberapa tangkap layar (screenshot) di media sosial hantaran pengguna Facebook tersebut dengan menggunakan perkatan kesat dan berunsur ugutan kepada pihak polis," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, suspek yang merupakan pemilik akaun Facebook berkenaan ditahan kira-kira jam 9 malam.

"Polis telah merampas peranti berupa telefon bimbit milik wanita tersebut yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran di Facebooknya.

"Suspek akan dibawa ke hadapan Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah tahanan reman di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi meneruskan siasatan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan (menakutkan secara jenayah), Seksyen 504 Kanun Keseksaan (mengaibkan dengan niat hendak mendatangkan bangkitan marah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (menggunakan perkhidmatan rangkaian dan komunikasi secara tidak wajar).

Artikel Berkaitan:

"Pengguna media sosial yang lain dinasihatkan agar berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang ataupun jabatan," katanya.