Polemik kerahan tenaga tentera di Rusia

Konsep kerahan tenaga berjaya menguatkan lagi keupayaan tentera Rusia selain didakwa melumpuhkan pemimpin pembangkang negara itu. - Foto AFP
Konsep kerahan tenaga berjaya menguatkan lagi keupayaan tentera Rusia selain didakwa melumpuhkan pemimpin pembangkang negara itu. - Foto AFP
A
A
A

KONSEP kerahan tenaga pertama kali digunakan di Rusia pada tahun 1918 apabila Jawatankuasa Eksekutif Pusat Seluruh Rusia mengeluarkan dekri tentang wajibnya mengambil rekrut-rekrut baharu bagi menjadi anggota Tentera Merah.

Pada awalnya, rekrut-rekrut baharu itu berkhidmat secara sukarela untuk Tentera Merah yang terdiri daripada para pekerja dan petani-petani dan diwujudkan oleh kerajaan komunis negara itu pada tahun 1917.

Bagaimanapun, menurut portal Russia Beyond, beberapa bulan kemudian, pihak tentera mendapati bahawa ia tidak boleh bergantung kepada anggota-anggota sukarela itu menyebabkan dekri tersebut dikeluarkan.

Tempoh perkhidmatan kerahan tenaga itu kemudian berubah-ubah dan akhirnya ditetapkan untuk mana-mana anggota kerahan itu berkhidmat selama setahun.

Bilangan penduduk Rusia yang dahulu dikenali sebagai Kesatuan Soviet yang menjalani kerahan tenaga itu kemudian meningkat kepada lima juta askar pada pada tahun 1920 dengan 75 peratus daripadanya ialah para petani.

Lebih 250,000 lelaki Rusia berumur antara 18 hingga 27 tahun dikatakan menjalani kerahan tenaga tentera pada setiap tahun di negara itu.

Sungguh pun begitu, ramai pemuda yang tidak menjalani kerahan tenaga itu dengan menggunakan alasan kesihatan dan melanjutkan pelajaran dengan ada yang sanggup membayar rasuah bagi mengelak daripada menyertai kerahan tenaga.

Bagaimanapun, isu kerahan tenaga itu menjadi perdebatan ekoran dakwaan pihak pembangkang dan aktivis-aktivis berhaluan kanan bahawa kerajaan cuba untuk menjadikannya sebagai salah satu 'senjata' bagi mendiamkan para penentangnya sejak beberapa tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Tentera Rusia sudah melaksanakan kerahan tenaga tentera sejak tahun 1918 lagi. - Foto AFP
Tentera Rusia sudah melaksanakan kerahan tenaga tentera sejak tahun 1918 lagi. - Foto AFP

Menurut AFP, empat pemuda yang merupakan penyokong pemimpin pembangkang Rusia, Alexei Navalny telah dikerah memasuki perkhidmatan tentera tanpa kerelaan mereka dalam tempoh lima tahun lalu.

Salah seorangnya ialah Ruslan Shaveddinov.

Beberapa anggota polis datang ke apartmennya di Moscow pada Disember 2019 dan menggergaji pintu masuk ke kediamannya serta menggari kedua-dua tangan lelaki itu sebelum memaksa pemuda tersebut menjalani kerahan tenaga tentera di Artik.

Beliau juga dinafikan untuk menggunakan telefon bimbit yang dianggap mencabul peraturan jika ia digunakan semasa menjalani tempoh kerahan tenaga itu.

Shaveddinov yang berusia 25 tahun dan merupakan aktivis pembangkang terpaksa berhubung dengan kekasihnya menerusi surat bertulisan tangan yang mengambil masa berminggu-minggu untuk tiba kepadanya.

Beliau ditugaskan selama setahun di sebuah pos tentera yang hanya boleh tiba di tempat itu melalui helikopter manakala beruang kutub-beruang kutub berkeliaran di kawasan tersebut.

Shaveddinov dan empat lagi askar yang lain di pos tentera itu pernah mencairkan salji untuk dijadikan air minuman mereka.

Seorang aktivis pembela hak-hak asasi manusia Oleg Kozlovsky juga pernah ditangkap pada tahun 2007 dan dihantar bertugas ke sebuah pos tentera di tengah Rusia walaupun beliau sepatutnya dikecualikan daripada menjalani kerahan tenaga kerana masih menjadi pelajar sepenuh masa.

Menggambarkan kerahan tenaga tentera itu sebagai hukuman yang tidak dikategorikan sebagai perbuatan jenayah di sisi undang-undang, Kozlovsky berkata, ia merupakan salah satu cara untuk mengasingkan seseorang bagi memastikan hubungan sedia adanya terputus.

Beliau yang berusia 36 tahun kini menjadi penyelidik untuk pertubuhan bukan kerajaan iaitu Amnesty International.

Seorang lagi remaja berusia 16 tahun, Vsevolod Gunkov yang merupakan aktivis pendukung kebebasan di wilayah Altai, Siberia merancang untuk menggelakkan diri daripada menyertai kerahan tenaga tentera.

Beliau sebelum ini berjaya mengelakkan diri daripada menyertai kerahan tenaga tentera itu pada Disember tahun lalu dengan membuat rayuan dan dia dipanggil untuk memasuki kerahan tenaga itu pada bulan April lalu.

Namun, beliau memberitahu AFP bahawa beliau akan terus berjuang untuk tidak memasuki kerahan tenaga tentera. - Agensi