Kilauan emas dalam bayangan

Pandelela meraih emas acara 10m platform individu pada Kejohanan Terjun Piala Dunia FINA 2021 di Tokyo pada Rabu. Jun Hoong menjuarai Kejohanan Akuatik Dunia 2017 di Budapest, Hungary.
Pandelela meraih emas acara 10m platform individu pada Kejohanan Terjun Piala Dunia FINA 2021 di Tokyo pada Rabu. Jun Hoong menjuarai Kejohanan Akuatik Dunia 2017 di Budapest, Hungary.
A
A
A

DUA ratu terjun - Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong layak diletakkan sebagai prospek terbaik dalam misi kontinjen Malaysia memburu pingat emas sulung pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malah, kejayaan Pandelela dan Jun Hoong meraih pingat dalam dua temasya Olimpik sebelum ini menerbitkan sinar betapa Malaysia mampu mengakhiri penantian panjang merangkul emas di pentas sukan paling berprestij di dunia itu.

Hakikat itu turut diakui bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang menganggap kedua-dua ratu terjun negara itu berada dalam kelas mereka tersendiri sejak beberapa tahun lalu.

“Saya tidak rasa terkejut dengan berita kejayaan Pandelela dan Jun Hoong pada Piala Dunia (FINA) kali ini. Mereka sudah berjaya membuktikan kemampuan masing-masing dalam banyak kejohanan.

“Sebagai contoh, Jun Hoong pernah bergelar juara dunia dan kali ini, giliran Pandelela pula menawan dunia. Mereka juga telah menghadiahkan Malaysia pingat pada Sukan Olimpik lalu.

“Jadi bukan sesuatu yang mengejutkan mereka mampu mencipta impak dengan menyumbang pingat buat kontinjen Malaysa pada Sukan Olimpik di Tokyo nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Terdahulu, Pandelela menampilkan terjunan luar biasa ketika memenangi pingat emas acara 10 meter platform individu pada Piala Dunia (FINA) 2021 di Tokyo pada Rabu.

Sehari sebelum itu, Jun Hoong muncul atlet ke-13 Malaysia layak secara rasmi ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas mara ke saingan separuh akhir acara sama apabila mengumpul keseluruhan 345.30 mata.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Zolklpes berkata, Pandelela dan Jun Hoong tidak harus diberikan tekanan berlebihan menjelang temasya Olimpik Tokyo sehingga mengundang impak negatif.

“Saya percaya sudah tentu mereka diletakkan harapan untuk membawa emas Olimpik kali ini. Tetapi sebaik-baiknya mereka tidak harus menerima tekanan tinggi sebelum menghadapi Olimpik nanti.

“Bagi saya jalan terbaik adalah jangan letakkan pressure kepada mereka kerana kalau dapat bawa pulang pingat, tidak kira warna apa sekalipun... itu sudah dianggap cukup baik.

“Dapat emas boleh dianggap bonus. Ini kerana dalam terjun, kebiasaannya acara itu disapu bersih atlet China. Jadi sebaik-baiknya biarlah mereka beraksi tenang di Tokyo,” ujarnya.