'Dine-in' di hotel: Kedah kemuka permohonan kepada MKN

Mohd Firdaus
Mohd Firdaus
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah akan mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung permintaan Persatuan Hotel-Hotel Malaysia Kedah/Perlis (MAH) agar dilonggarkan syarat 'dine-in' di hotel ketika berbuka puasa dan makan malam.

Exco Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Kedah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, kelonggaran itu dimohon bagi lima daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu Kulim, Bandar Baharu, Baling, Kuala Muda dan Kota Setar.

Menurutnya, punca kuasa bagi kelonggaran aktiviti dan peraturan yang terkandung dalam prosedur operasi standard (SOP) terletak di bawah MKN.

"Kerajaan negeri hanya boleh mengemukakan syor dan cadangan untuk pertimbangan semasa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor," katanya menerusi suatu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, pertimbangan itu juga semestinya akan mengambil kira peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negeri ini dan penilaian risiko oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Setakat ini, sebanyak 709 kes aktif dicatatkan di lima daerah tersebut selepas berlaku penularan jangkitan melibatkan beberapa kluster di mukim, daerah atau zon tersebut.

"Faktor kebolehjangkitan ini boleh membebankan kapasiti kesihatan awam, makmal dan hospital di negeri ini jika tidak dibendung dari awal," katanya.

Walau bagaimanapun katanya, kerajaan negeri akan cuba memohon sedikit kelonggaran jika terdapatnya penurunan kes untuk beberapa hari akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Saya memahami keperitan yang ditanggung oleh industri perhotelan yang baru hendak bernafas semula setelah mengharungi pelbagai cabaran semasa tempoh wabak Covid-19.

"Tambahan pula data ketika ini menunjukkan kebolehjangkitan di hotel adalah rendah kerana mengamalkan disiplin SOP yang tinggi.

"Saya juga telah memaklumkan perkara ini kepada Menteri Besar dan beliau mengarahkan saya agar segera membuat perbincangan lanjut dengan lebih mendalam bersama pihak MKN agar pertimbangan wajar boleh diberikan kelak," katanya.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis sebelum ini merayu MKN dan kerajaan negeri Kedah serta Perlis mempertimbangkan kebenaran hotel-hotel untuk menawarkan 'dine-in' di hotel ketika waktu berbuka dan pada waktu malam.