X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Tutup sekolah: KPM penuhi permintaan kerajaan Selangor

Muslimin (dua dari kanan) beramah mesra pada Majlis Berbuka Puasa bersama Petugas Barisan Hadapan di Dewan Simpang 5 pada Khamis.
A
A

SUNGAI BESAR - Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menutup sekolah bermula Khamis sehingga cuti Aidilfitri bagi memenuhi permintaan kerajaan negeri Selangor dalam usaha mengurangkan pergerakan komuniti berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya berkata, keputusan itu dicapai pada sidang khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negara (Negeri Selangor).

Menurutnya, perkara itu dipersetujui KPM bagi mengelakkan berlakunya risiko jangkitan Covid-19 di peringkat sekolah.

"KPM sentiasa komited untuk memastikan penularan Covid-19 ini dapat dikurangkan di peringkat sekolah," katanya pada Majlis Berbuka Puasa bersama Petugas Barisan Hadapan di Dewan Simpang 5 di sini pada Khamis.

Muslimin yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar berkata, kira-kira 170,000 pelajar asrama juga perlu mengekalkan jadual pergerakan pulang yang sudah ditetapkan.

"Cuti penggal ini beri risiko besar kepada pelajar asrama dan cara paling selamat mereka ini tidak berada pada situasi risiko jangkitan Covid-19," katanya.

Justeru, katanya, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) membabitkan kira-kira lima juta pelajar seluruh negara akan dilaksanakan selama dua minggu persekolahan selepas cuti Aidilfitri.

"Langkah ini diambil bagi mengurangkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku di luar sekolah ketika musim perayaan.

"KPM memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan pelajar supaya tidak berisiko dijangkiti Covid-19," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan semua institusi pendidikan yang melibatkan hampir sejuta pelajar di seluruh Selangor akan ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini termasuk semua sekolah kebangsaan, sekolah harian dan sekolah di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selain berharap sekolah swasta turut mengikuti arahan itu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!