Sembilan individu dipilih anggotai Pasukan Petugas Khas Presiden FAM

No Image Caption
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Khamis mengumumkan senarai penuh nama sembilan individu yang telah dipilih sendiri oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bagi menganggotai Pasukan Petugas Khas Presiden atau Presidential Task Force (PTF).

Sepertimana yang dinyatakan Hamidin pada Kongres FAM Ke-57 di Putrajaya pada 13 Mac 2021 dan diluluskan oleh mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM seminggu kemudian, penubuhan PTF itu bertujuan memberi peluang kepada individu-individu yang bukan dari persatuan bola sepak negeri untuk menyumbang idea membantu Presiden FAM merencanakan hala tuju badan induk itu.

Mereka yang dipilih terdiri daripada antaranya dalam kalangan peneraju korporat, syarikat berkaitan kerajaan, pengamal undang-undang, ahli akademik, penyokong bola sepak, media serta kerabat diraja.

Dalam mengumpul maklumat sebagai usaha mencanai idea-idea baharu yang bernas, PTF diberi hak untuk mengadakan sesi perbincangan dengan pemegang taruh industri bola sepak.

Berikut senarai nama sembilan individu yang telah dilantik untuk menganggotai PTF ini serta ringkasan butiran peribadi masing-masing.

1. Abdul Jalil Abdul Rasheed

* Seorang ahli korporat yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Berjaya Corporation Berhad. Terdahulu sebelum itu, beliau pernah bergelar CEO termuda di Permodalan Nasional Berhad (PNB).

2. Tengku Salehuddin Shah Alhaj Tengku Sulaiman Shah Alhaj

Artikel Berkaitan:

* Seorang kerabat diraja yang lebih dikenali sebagai Tengku Bib dan merupakan Tengku Indera Bijaya Diraja Selangor.

3. Datuk Ruzain Idris

* Seorang wakil agensi kerajaan yang kini menjawat tugas selaku Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia sejak Oktober 2020. Beliau sebelum ini merupakan bekas Pengarah Pembangunan Negeri Selangor, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

4. Khairul Kamarudin

* Seorang ahli korporat yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Muamalat Malaysia Berhad, sekali gus menjadi wakil bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Beliau cukup berpengalaman dalam bidang perbankan dengan berkhidmat 13 tahun bersama Bank Islam sebelum menyertai Bank Muamalat pada 2019.

5. Dr Mohd Bahrin Othman

* Seorang ahli akademik dan pengamal undang-undang yang merupakan pensyarah kanan di Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam sejak dari tahun 2000. Beliau pernah menjadi Timbalan Presiden UiTM FC dari 2010 hingga 2019 dan kini sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM FC.

6. Muhammad Tarmizi Abdul Aziz

* Seorang wakil penyokong setia bola sepak negara yang mana beliau yang lebih dikenali sebagai Mizi merupakan antara penggerak utama Ultras Malaya. Berkerjaya dalam bidang oil & gas, beliau sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana (Masters) dalam bidang pengurusan kejuruteraan.

7. Prof Dr Sivamurugan Pandian

* Seorang ahli akademik yang merupakan pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan Ahli Senat USM. Tahun lalu, beliau turut dilantik sebagai Panel Pemikir Kementerian Perpaduan Negara dan Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara, selain pernah dipilih menjadi Ikon Patriotik Hari Kebangsaan 2016 dan 2017.

8. Ooi Kin Fai

* Seorang wakil media yang berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan sukan dan merupakan Timbalan Pengarang di Goal Malaysia sejak 2016 hingga kini. Sebelum bergelar wartawan, lulusan Universiti Sains Malaysia (USM) ini pernah menjadi jurutera selama tujuh tahun sebelum beralih bidang pada 2013.

9. Dr Wirdati Mohd Radzi

* Seorang ahli akademik wanita dan pengamal undang-undang sukan yang merupakan pensyarah kanan di Pusat Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. Beliau yang pernah menjadi Pesuruhjaya Sukan dari 2019 hingga 2020 kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Profesionalisasi Kelab MFL sejak Januari lalu.