Arwah tak sempat makan bubur pulut hitam

Jenazah tiba di Unit Forensik HRPZ II, Kota Bharu pagi Khamis.
Jenazah tiba di Unit Forensik HRPZ II, Kota Bharu pagi Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU – Isteri Ketua Pemuda Armada Kelantan, Allahyarham Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz terkilan kerana arwah tidak sempat merasa bubur pulut hitam yang dimintanya sejak minggu lalu.

Nurul Fazrina Mohd Razali, 35, yang juga isteri pertama arwah memberitahu, suaminya menyuarakan hasrat tersebut sebelum ke Kuala Lumpur beberapa hari lalu atas urusan kerja.

“Sepatutnya hari ini saya masak bubur tersebut dan makan bersama arwah dan keluarga. Namun apakan daya, dia pergi dulu. Saya reda dengan ketentuan ini walaupun ia berlaku dalam keadaan mengejut,” katanya.

Beliau dan isteri kedua, Nur Zuriana Zulkifli, 34, ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai arwah, Fazrina memberitahu, arwah baru sahaja pulang dari Kuala Lumpur pada Rabu dan tidak mengadu sebarang kesakitan kecuali kelihatan penat dengan urusan kerja.

Katanya, arwah juga tidak banyak bercakap sepanjang malam cuma menyatakan kerinduan kepada anak-anak selepas beberapa hari meninggalkan mereka di rumah disebabkan terpaksa ke Kuala Lumpur.

“Dia peluk cium anak-anak, katanya rindu. Cuma satu yang mengejutkan saya ialah sebelum tidur, dia beritahu, “saya sudah tiada masa”, dia kemudian tidur dan bangun sahur seperti biasa.

“Waktu sahur pun dia tidak bercakap dengan saya dan terus ke meja makan. Semasa makan, tiba-tiba dia pengsan dan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Arwah yang berusia 36 tahun itu meninggal dunia pagi Khamis dipercayai akibat serangan jantung dan tidak mempunyai sejarah penyakit kronik.

Arwah yang meninggalkan enam orang anak dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Beta, Pohon Buloh, Pasir Mas, selepas solat Asar pada Khamis.