X

Kindly register in order to view this article
!

PKP: Aktiviti sukan, rekreasi digantung sementara

Reezal Merican
A
A

SIDANG Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk menggantung sementara sektor serta aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan penggantungan itu termasuk semua aktiviti sukan dan rekreasi di premis atau kemudahan komersial, kemudahan awam dan kawasan terbuka.

“Pertimbangan dan keputusan itu dibuat berdasarkan kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengambil kira cabaran serta perkembangan semasa demi kepentingan kesihatan awam selaras dengan hasrat membendung penularan wabak Covid-19 terutama dalam komuniti,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, KBS memaklumkan operasi yang dibenarkan adalah membabitkan kemudahan atau premis sukan dan rekreasi yang terhad bagi urusan pengurusan dan penyelenggaraan sahaja; program latihan berpusat secara kuarantin Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis-Majlis Sukan Negeri menggunakan konsep Camp Based Training.

Selain itu, turut dibenarkan adalah program latihan berpusat secara kuarantin pasukan Liga Malaysia (Liga-M) sementara penganjuran kejohanan dan perlawanan persahabatan mengikut model Gelembung Sukan terhad bagi saingan Liga-M tanpa kehadiran penonton.

Pada masa sama, penyertaan atlet dan pegawai tempatan ke kejohanan antarabangsa dengan sokongan KBS dan kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga dibenarkan.

KBS dalam pada itu yakin keputusan ini adalah bersifat sementara dan sentiasa menyokong segala usaha yang dilakukan KKM demi membendung penularan wabak itu seterusnya melandaikan keluk jangkitan.

“Penilaian risiko oleh pihak berkuasa seperti KKM akan dibuat dari semasa ke semasa dan kebenaran bagi sektor serta aktiviti sukan dan rekreasi untuk dibenarkan beroperasi semula adalah menjadi komitmen utama KBS,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) sektor serta aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) kekal seperti SOP sedia ada.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai SOP Sektor Sukan dan Rekreasi bagi kawasan PKP yang telah dikemas kini di portal MKN dan KBS yang akan dimuat naik dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sentiasa memahami keresahan dan keperitan pihak penggiat sukan dan pemain industri khususnya operator fasiliti sukan dan rekreasi komersial yang terpaksa ditutup dengan keputusan terkini ini di kawasan PKP.

"Keputusan ini bersifat sementara untuk sama-sama membantu kerajaan dalam usaha mengurangkan dan membendung penularan pandemik Covid-19 di dalam komuniti dan negara kita secara amnya," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!