Normal insiden panas dalam bola sepak

Berlaku sedikit ketegangan antara pemain dan pegawai KDA FC dan JDT selepas tamat separuh masa pertama di Stadium Darul Aman pada Selasa. - Foto Bernama
Berlaku sedikit ketegangan antara pemain dan pegawai KDA FC dan JDT selepas tamat separuh masa pertama di Stadium Darul Aman pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

INSIDEN tegang dalam perlawanan bola sepak yang sengit adalah normal disebabkan berlakunya ketegangan emosi, justeru ia tidak perlu diperbesar-besarkan, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam.

Mengulas mengenai reaksi terhadap perlawanan antara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Staduium Darul Aman pada Selasa lepas, Stuart berkata, bola sepak ialah permainan fizikal yang sering menimbulkan keagresifan dan konfrontasi di padang.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa FAM sebagai badan yang mentadbir sukan bola sepak negara akan mengambil tindakan dan keputusan tatatertib apabila diperlukan.

“Saya belum lihat sendiri laporan daripada (komisioner) perlawanan, tetapi saya tidak melihat sebarang kejadian besar. Mungkin emosi menjadi tegang dalam perlawanan seperti itu apabila dua pasukan teratas bertanding dan melibatkan penalti pada saat akhir.

“Ini adalah bukti semangat, emosi kedua-dua pasukan yang bertanding untuk memburu gelaran liga, ia berlaku dalam sukan bola sepak di seluruh dunia. Saya percaya dalam sidang akhbar (pada masa itu), ketua jurulatih (Aidil Sharin Sahak) menjawab dengan profesional.

“Saya rasa ia bukan perkara besar untuk sesuatu yang memerlukan kempen baharu,” katanya kepada pemberita selepas undian Liga M3 dan upacara menandatangani tajaan antara Liga Bola Sepak Amatur (AFL) dengan Extra Joss pada Rabu.

Sepakan penalti di saat akhir oleh Bergson da Silva selepas Mohamadou Sumareh dijatuhkan pertahanan KDA FC, Renan Alves, memastikan JDT kembali dengan tiga mata dari Darul Aman pada Selasa.

Sementara itu, Pengerusi AFL, Datuk Yusoff Mahadi, berkata prosedur operasi standard (SOP) untuk liga divisyen tiga akan diumumkan kira-kira seminggu sebelum sepak mula dijadualkan pada 4 Jun, bergantung kepada situasi pada masa itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa daerah antaranya di Selangor, Johor, Kedah dan Kuala Lumpur tarikh sepak mula mungkin ditangguhkan jika keadaan tidak mengizinkan.

“Kita tidak tahu bagaimana keadaan pada awal bulan depan nanti, mungkin SOP akan berubah. Jadi kita tunggu SOP akhir... Kita dah ada kelulusan (untuk liga), tetapi atas faktor-faktor apa yang akan berlaku sehingga hujung bulan, suasana mungkin berbeza,” katanya. - Bernama

Keputusan undian

--------------------------

Kumpulan A: PIB FC, Manjung City FC, Perlis United FC, Ultimate FC, Kuala Lumpur Rovers FC, Armed Forces FC, Cyberlynx FC, BRM FC, Kijang Rangers FC, MNY FC.

Kumpulan B: KSR Sains FC, Imigresen FC, MAHSA-Protap FC, Harini KS FC, Langkawi City FC, Real Chukai FC, FC Langkawi, Kinabalu Jaguar FC, Kuala Kangsar FC, Malaysian University Football Team.