Harimau Malaya tanpa kelibat Eky

Eky (tengah) terpaksa melupakan tugasan bersama skuad Harimau Malaya di UAE pada Jun depan. -Foto FB Selangor FC
Eky (tengah) terpaksa melupakan tugasan bersama skuad Harimau Malaya di UAE pada Jun depan. -Foto FB Selangor FC
A
A
A

PENYERANG Selangor FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun ini akibat kecederaan.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata, Penyerang Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK20) itu mengalami retak tulang fibula (bahagian betis) ketika diturunkan pada aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC pada Rabu.

Jelas Cheng Hoe, kecederaan itu memaksa Shahrel Fikri atau lebih dikenali dengan panggilan Eky berehat antara enam hingga lapan minggu.

Ketiadaan Eky bagi menghadapi tiga aksi getir menentang UAE, Vietnam dan Thailand dalam saingan Kumpulan G kempen kelayakan itu amat dirasai, selain menjejaskan perancangan pasukan dan memaksa barisan kejurulatihan memikirkan alternatif lain.

“Satu kerugian besar untuk skuad kebangsaan apabila beliau cedera dan tidak dapat bersama pasukan. Kami (barisan kejurulatihan) masih berbincang mencari penggantinya,” kata Cheng Hoe pada Khamis.

Cheng Hoe berkata, skuad kebangsaan masih memiliki pemain gantian untuk posisi Muhammad Shahrel iaitu pemain naturalisasi Guilherme de Paula (Perak FC), Muhammad Syafiq Ahmad (Johor Darul Ta’zim), Norshahrul Idlan Talaha (Sarawak United FC) dan Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk).

Pada aksi menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Muhammad Shahrel yang dimasukkan pada separuh masa kedua hanya beraksi kira-kira 10 minit sebelum diusung keluar berikutan kecederaan dialaminya ketika diasak oleh kapten pasukan lawan, Muslim Ahmad.

Sementara itu, Shahrel Fikri yang selesai menjalani rawatan pada Khamis menyaksikan kaki kanannya terpaksa disimen bagi mempercepatkan proses pemulihan.

Artikel Berkaitan:

“Terima kasih semua yang mendoakan, saya akan kembali lebih garang,” kata Muhammad Shahrel di Instagram rasmi miliknya.

Shahrel Fikri antara 28 pemain dipanggil Cheng Hoe menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan pada Mac lepas dan antara yang hampir pasti disenaraikan dalam skuad ke UAE. - Bernama