KRM tunggu keputusan KBS

Presiden Ragbi Malaysia Datuk Shahrul Zaman Yahya (kanan) berucap pada Sidang Media Sempena Kejohanan Ragbi 7s Lembaga Pengelola Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 2019 di Bangunan MCOBA Jalan Syed Putra, semalam. - Foto Bernama
Presiden Ragbi Malaysia Datuk Shahrul Zaman Yahya (kanan) berucap pada Sidang Media Sempena Kejohanan Ragbi 7s Lembaga Pengelola Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 2019 di Bangunan MCOBA Jalan Syed Putra, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

PRESIDEN Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya mahu mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mendapatkan penyelesaian segera berhubung status pembinaan sebuah stadium ragbi.

Shahrul Zaman berkata, badan induk sukan itu akan berjumpa dengan Syed Saddiq pada minggu depan bagi mendapat kata putus daripada kementerian mengenai pembinaan stadium tersebut di Presint 14, Putrajaya.

Beliau difahamkan Perbadanan Putrajaya telah meluluskan tapak pembinaan stadium ragbi itu, namun berdasarkan perbincangan terakhir bersama Syed Saddiq, KBS mencadangkan pembinaan ditukarkan di sekitar Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil.

“Ini salah satu perkara (status pembinaan stadium) yang akan dibuat susulan dengan beliau sebab kali terakhir pertemuan kami pada tahun lepas, beliau menyatakan komitmen meneruskan pembinaan stadium itu. Perbadanan Putrajaya juga sudah meluluskan tanah.

“Pada pertemuan terakhir bersama menteri, beliau ada bertanya kepada kami (KRM) sama ada bersetuju sekiranya venue itu bertukar semula ke Bandar Sukan Kuala Lumpur. Kami menyatakan kalau pembinaan di situ, ia lebih bagus sebab kedudukan strategik dan berhampiran Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

“Cuma jika pembinaan di Bukit Jalil, hanya ada sebuah padang berbanding di Putrajaya tapak itu boleh membina sebuah stadium yang ada dua padang, untuk perlawanan dan pemanas badan.

“Dalam ragbi, tiada masalah ada sebuah padang sahaja tetapi kalau kejohanan tujuh sepasukan, sekiranya ada pasukan sedang beraksi dan pasukan seterusnya kena lakukan sesi pemanas badan segera. Jadi, tiada tempat untuk memanas badan kalau tiada padang kedua,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Kejohanan Ragbi Premier 7-Sepasukan MCKK 2019 di sini, semalam.

Shahrul Zaman berkata berdasarkan perancangan asal dengan kerajaan terdahulu, kapasiti pembinaan stadium ragbi itu mampu memuatkan 5,000 hingga 10,000 penonton dan ia sesuai untuk perlawanan domestik dan persahabatan.

Artikel Berkaitan:

Namun, beliau berkata untuk kejohanan berskala besar seperti Kejohanan Ragbi Asia dan Liga Ragbi Premier seperti dianjurkan tahun lepas, ia akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Walaupun sudah ada stadium ragbi, kita masih perlu menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk perlawanan-perlawanan tertentu. Saya ambil contoh bola sepak, untuk perlawanan akhir, Stadium Nasional Bukit Jalil akan digunakan,” jelasnya.

Menurut Shahrul Zaman, Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah kendalian kerajaan terdahulu secara prinsipnya telah meluluskan peruntukan berjumlah RM10 juta untuk tujuan pembinaan stadium ragbi itu.

“Pihak saya (KRM) tiada halangan sekiranya KBS bersetuju membina stadium ragbi dengan sebuah padang di sekitar Bukit Jalil kerana masih ada padang dalam MSN yang boleh digunakan sebagai padang kedua,” jelasnya.

Selain isu pembinaan stadium, pihak KRM juga mahukan penjelasan mengenai sokongan lain yang boleh diberikan kementerian dalam pertemuan itu memandangkan KRM ada mendapat banyak bantuan daripada pihak kementerian sebelum ini.

“Sekarang ini yang pasti adalah sokongan KBS dan MSN untuk pasukan 7s negara untuk menghadapi Sukan Sea di Filipina tahun ini. Pasukan ragbi lelaki merupakan pemenang pingat emas dan berada dalam program MSN.

“Skuad wanita yang memenangi pingat gangsa pada Sukan Sea 2017 tidak dibantu sepenuhnya tetapi mungkin MSN akan bantu dari segi pembiayaan menyertai perlawanan di luar negara. Secara keseluruhan kita mahu perbincangan semula dengan menteri apakah hala tuju KBS dan MSN dalam membantu persatuan sukan seperti kami,” katanya. - Bernama