Deepak tarik balik rayuan masukkan Najib, tujuh lagi dalam saman

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Ahli perniagaan, J.R. Deepak Jaikishan menarik balik rayuannya bagi memasukkan nama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan enam lagi sebagai pihak ketiga dalam saman yang difailkan keluarga penyiasat persendirian (PI) mendiang P.Balasubramaniam.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said membatalkan rayuan itu selepas peguam Vinod Kamalanathan yang mewakili Deepak memaklumkan bahawa beliau telah menerima arahan daripada anak guamnya untuk menarik balik rayuan.

Kamaludin turut memerintahkan Deepak untuk membayar kos RM1,000 kepada setiap peguam yang mewakili lapan responden.

Selain Najib dan Rosmah, enam yang lain ialah adik-beradik Najib iaitu Datuk Ahmad Johari dan Datuk Mohd Nazim, peguam Tan Sri Cecil Abraham, Sunil Abraham, Arulampalam Mariampillai dan pesuruhjaya sumpah Zainal Abidin Muhayat.

Turut bersidang Datuk Azizah Nawawi dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin. Prosiding itu dikendalikan menerusi sidang video.

Pada 6 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Deepak untuk memasukkan semula nama kelapan-lapan responden sebagai pihak ketiga dalam saman yang difailkan balu Balasubramaniam, A. Santamil Selvi dan tiga anaknya iaitu B. Kishen, B. Menaga dan B. Reeshi.

Di Mahkamah Tinggi itu, peguam David Matthews yang mewakili Najib dan Rosmah memberitahu pemberita bahawa mahkamah menolak permohonan Deepak atas alasan beliau gagal membuktikan satu kes prima facie serta permohonannya tidak mempunyai butiran lengkap.

Balasubramaniam, yang juga dikenali sebagai P.I Bala, adalah saksi penting dalam kes pembunuhan model warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006. P.I. Bala meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2013, beberapa minggu selepas pulang dari India.

Artikel Berkaitan:

Santamil Selvi memfailkan semula saman terhadap Deepak dan kelapan-lapan responden selepas saman pertamanya ditolak.

Dalam penyataan tuntutan, Santamil Selvi dan anak-anaknya mendakwa bahawa mereka terpaksa hidup dalam buangan di India selama 56 bulan mulai 4 Julai 2008 susulan pendedahan Balasubramaniam dalam akaun berkanun keduanya berhubung kes pembunuhan Altantuya.

Santamil Selvi dan anak-anaknya memohon ganti rugi berjumlah RM840,000 termasuk kos menyewa sebuah pangsapuri di Chennai, India; yuran sekolah dan kehilangan pendapatan sebagai guru tadika, pinjaman perumahan, kos pengangkutan, ganti rugi am, ganti rugi khas dan kos.

Kecuali Deepak, kelapan-lapan responden telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan saman kedua Santamil Selvi namun gagal.

Bagaimanapun, mereka berjaya di peringkat Mahkamah Rayuan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Deepak kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk memasukkan kelapan-lapan individu sebagai pihak dalam saman itu. - Bernama