772 penduduk Relau diarah jalani HSO

ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor turut hadir memantau Pusat Kawalan Operasi Bencana Relau bagi pengagihan makanan kepada penduduk terlibat.
ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor turut hadir memantau Pusat Kawalan Operasi Bencana Relau bagi pengagihan makanan kepada penduduk terlibat.
A
A
A

BANDAR BAHARU - Seramai 772 penduduk di Pekan Relau diarah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah atau Home Surveillance Order (HSO) selepas 1,028 penduduk di kawasan itu melakukan saringan Covid-19.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, daripada jumlah itu, seramai 211 penduduk disahkan positif Covid-19 yang terdiri daripada 106 lelaki dan 105 wanita.

Menurutnya, seramai 129 penduduk yang positif berusia bawah 60 tahun, manakala 72 orang lagi berusia lebih 60 tahun ataupun warga emas.

"Seramai 12 penduduk di Lubuk Buntar, Bandar Baharu turut disaring selepas dipercayai mempunyai kontak rapat dengan individu positif di Relau," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, penduduk yang dikenakan HSO tidak perlu panik kerana bekalan makanan mula diagihkan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pejabat Daerah Bandar Baharu secara berperingkat bermula Khamis.

"Diharap penduduk juga patuh dengan arahan diberikan bagi mengekang penularan wabak ke kawasan berdekatan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 200 penduduk di pekan kecil Relau di Bandar Baharu, Kedah disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke Hospital Kulim manakala bakinya diarah kuarantin di rumah.

Kluster Pintu Air Relau itu dilaporkan berpunca daripada seorang penduduk yang disahkan positif Covid-19 sebelum menghadiri majlis tadarus al-Quran sebelum merebak kepada jemaah lain dan ahli keluarga.

Artikel Berkaitan: