Pesara tentera terima rasuah didenda RM70,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didenda RM70,000 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas kesalahan jenayah rasuah berhubung kerja rasminya dengan menerima benda berharga berupa suatu perkhidmatan bernilai RM10,000 dan wang tunai RM50,000.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap bekas Ketua Pengarah Bahagian Staf Perisikan, Leftenan Jeneral (B) Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan, 60, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didenda RM55,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda manakala bagi pertuduhan pilihan, dia didenda RM15,000 atau penjara tiga bulan.Tertuduh membayar denda itu.

Mahkamah turut memerintahkan wang yang disita berkenaan kes ini dilucut hak kepada kerajaan mengikut Seksyen 40 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sheikh Mokhsin sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan di Kementerian Pertahanan, didakwa telah menerima satu benda berharga berupa suatu perkhidmatan untuk dirinya yang dibayar oleh seorang pengarah syarikat pembekalan peralatan dan perisian ketenteraan bernilai RM10,000, yang mana tertuduh mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

Bagi pertuduhan pilihan, Sheikh Mokhsin didakwa menerima wang tunai berjumlah RM50,000 untuk dirinya daripada individu sama yang mana tertuduh mengetahui bahawa pengarah syarikat itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah bilik hotel di Langkawi, Kedah dan di pejabatnya di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini, antara 21 dan 26 Jun 2020 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, Sheikh Mokhsin didakwa telah menerima perkhidmatan itu sewaktu mengadakan lawatan Ops Benteng di Langkawi. Perkhidmatan dan wang tunai itu diterima berkaitan dengan pembekalan dron daripada syarikat milik pengarah syarikat tersebut.

Peguam bela, Datuk Mohd Shahrom Mohamad yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan berbentuk denda tanpa pemenjaraan atas alasan anak guamnya telah insaf dan membuat pengakuan salah dengan rela hati tanpa sebarang paksaan.
Artikel Berkaitan:


“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira jasa anak guam saya yang telah berkhidmat selama 41 tahun dalam bidang ketenteraan yang mana beliau pernah berkhidmat dalam misi United Nations Peacekeeping Operation di Iraq dan selaku Ketua Pasukan Pemantau Antarabangsa di Mindanao, Filipina.

“Beliau juga telah diminta oleh pihak kementerian untuk bersara lebih awal pada 31 Julai 2020 susulan penangkapan dan siasatan oleh SPRM berkenaan kes ini. Anak guam saya juga penanggung utama keluarga dan ketika ini, beliau masih menanggung isteri dan empat orang anaknya,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Siti Norhafizan Zakaria membantah hukuman berbentuk denda mengambil kira faktor kekerapan penularan jenayah rasuah dalam masyarakat.

“Mitigasi tertuduh secara keseluruhan hanya bertumpu pada kepentingan peribadi semata-mata. Saya mohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat yang dapat memberi pengajaran kepada orang awam tentang keseriusan jenayah rasuah,” katanya. - Bernama