Empat sekatan jalan raya di Mukim Taiping

Mukim Taiping
Mukim Taiping
A
A
A

TAIPING - Sebanyak empat sekatan jalan raya (SJR) akan dilaksanakan setelah Mukim Taiping dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tengah malam pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, sekatan itu melibatkan Jalan Kamunting, Jalan Batu Kurau -Changkat Larah, Jalan Ayer Kuning dan Jalan Simpang di sini.

Menurutnya, Jalan Ipoh -Butterworth bermula jeti kelip -kelip Kampung Dew ke arah lampu isyarat Changkat Jering berada dalam Mukim Taiping manakala arah bertentangan adalah tidak terlibat.

"SJR ini adalah untuk memastikan pergerakan keluar masuk penduduk dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

"Penutupan semua jalan masuk ke Mukim Taiping dengan menggunakan penghadang bagi mengelakkan kenderaan keluar dan masuk ke mukim ini tanpa surat kebenaran," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini pada Khamis.

Osman berkata, anggota akan memperketatkan kawalan termasuk pemantauan di laluan-laluan tikus sepanjang tempoh PKP sehingga 20 Mei ini.

"Hanya kes-kes kecemasan, sakit, kematian dan pasangan suami isteri jarak jauh yang mempunyai surat kebenaran merentas daripada pihak polis dibenarkan untuk melalui SJR ini.

"Bagi pekerja -pekerja pelbagai sektor di mukim ini, mereka perlu mengemukakan pas pekerja atau surat pengesahan majikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kata Osman, pihaknya tidak teragak-agak mengenakan kompaun kepada individu yang didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam tempoh PKP itu.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Mukim Taiping dikenakan PKP selepas terdapat peningkatan kes bagi tiga kluster aktif iaitu Kluster Jalan Kolam Dua di Kampung Exco, Kluster Jalan Pokok Assam di Kampung Pokok Assam dan Kluster Jalan Sepat di Kamunting.